top of page

Pindaan Akta Sewa Beli: Sistem pembiayaan kenderaan lebih adil

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2h
  • 2 min read

Pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun disifatkan sebagai satu reformasi struktur penting yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada jutaan rakyat Malaysia, khususnya dalam urusan pembiayaan kenderaan.


Ketua Wanita AMANAH, Aiman Athirah Sabu (gambar) berkata, perubahan tersebut mungkin tidak menerima perhatian meluas seperti projek mega atau pengumuman pelaburan besar namun impaknya terhadap kehidupan harian rakyat amat signifikan.


"Melalui pindaan akta itu, sistem pembiayaan kenderaan negara kini memasuki era baharu yang lebih telus, adil dan memihak kepada pengguna.


"Ramai mungkin tidak menyedarinya, tetapi bermula 1 Jun 2026, satu perubahan besar dalam sistem pembiayaan kenderaan negara mula berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, selama puluhan tahun kebanyakan rakyat membeli kenderaan melalui sistem pembiayaan menggunakan kadar rata (flat rate) dan kaedah Rule of 78, yang sering menyebabkan baki hutang kekal tinggi walaupun bayaran bulanan telah dibuat selama bertahun-tahun.


Katanya, ramai pengguna juga mendapati penyelesaian awal pembiayaan tidak memberikan penjimatan yang setimpal kerana sebahagian besar keuntungan institusi kewangan telah diambil pada peringkat awal tempoh pembiayaan.


"Melalui pindaan akta yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026, sistem ini diubah secara menyeluruh.


"Bagi kontrak baharu, pembiayaan kenderaan akan menggunakan kaedah Effective Interest Rate (EIR) dan Reducing Balance Method, di mana keuntungan atau faedah dikira berdasarkan baki prinsipal semasa yang masih belum dijelaskan," katanya.


Menurut Aiman Athirah, perubahan tersebut bukan sekadar melibatkan formula kewangan malah mengubah hubungan kuasa antara institusi kewangan dan pengguna.


Beliau berkata, selama ini struktur pembiayaan lebih banyak memberi kelebihan kepada pemberi pinjaman, namun reformasi baharu itu mewujudkan kedudukan yang lebih seimbang.


"Mereka kini mempunyai lebih fleksibiliti untuk membuat penyelesaian awal pembiayaan, lebih kebebasan untuk menjual atau menukar kenderaan tanpa dibebani oleh struktur kos yang tidak seimbang serta ruang yang lebih baik untuk menyusun semula kewangan keluarga apabila keadaan ekonomi berubah.


"Rakyat kini mempunyai lebih kawalan terhadap keputusan kewangan mereka sendiri," katanya.


Aiman Athirah turut menegaskan manfaat reformasi tersebut melangkaui urusan pembelian kenderaan kerana ia memberi kesan kepada mobiliti kewangan rakyat secara keseluruhan.


Menurut beliau, apabila rakyat mempunyai lebih ruang untuk melangsaikan hutang lebih awal, mereka juga mempunyai lebih keupayaan untuk menyimpan, melabur, merancang pendidikan anak-anak serta menghadapi cabaran ekonomi yang tidak dijangka.


"Sistem yang lebih adil bermaksud lebih banyak sumber dapat kekal dalam tangan rakyat untuk digunakan bagi tujuan yang lebih produktif," katanya.


Pada 31 Mei lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam kenyataan berkata Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuat kuasa bermula 1 Jun sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan pembiayaan sewa beli lebih adil.


Bagi fasa awal bermula Jun, sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli telah bersedia menawarkan pinjawan berdasarkan pindaan tersebut.


Bank-bank lain akan mengikuti kaedah baharu itu pada fasa kedua penguatkuasaannya bermula September depan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page