top of page

Pinda Perlembagaan tanpa jejas hak anak terdampar, tanpa kerakyatan disambut baik



Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan untuk anak-anak terdampar dan tanpa kerakyatan yang digugurkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelmarin disambut baik oleh Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN).


Menurut Pengarah Komunikasi AWAN, Soraya Salim, keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju mengekalkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini bagi menjamin kewarganegaraan anak-anak yang ditemui tanpa keluarga (foundlings), amat dialu alukan.


Katanya, pengguguran cadangan pindaan Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua dan Seksyen 1 (e) Bahagian II Jadual Kedua itu akan menjaga hak wanita dan kanak kanak.


"Sejak awal AWAN menyokong sepenuhnya inisiatif Kerajaan MADANI meminda Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi menambah istilah "parent" yang membawa maksud "ibu" atau "bapa" sekaligus mengiktiraf kesaksamaan gender dalam hak mewariskan kewarganegaraan.


"Kami menghargai tekad politik yang dizahirkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjamin hak para ibu warganegara Malaysia serta ketegasan beliau untuk menyegerakan cadangan pindaan ini.


"Hal ini adalah selari dengan tuntutan AWAN, malah AMANAH sendiri (menegaskannya) menerusi usul yang diluluskan sebulat suara di Konvensyen Nasional 2022," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, AWAN juga menyokong usaha Menteri Dalam Negeri bersama pasukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang sedang giat menyelesaikan tunggakan permohonan kewarganegaraan melalui pendaftaran sebagai langkah tepat.


Katanya, sasaran untuk menyelesaikan baki 14,000 permohonan menjelang 31 Disember ini ternyata satu kemajuan yang memberangsangkan serta memberikan harapan kepada ramai kanak-kanak yang sebelum ini berdepan pelbagai kekangan akibat tiada kewarganegaraan.


Bagaimanapun, kata Soraya, tiga lagi cadangan pindaan iaitu berkaitan hak kerakyatan anak pemastautin tetap (Seksyen 1 (a) Bahagian II Jadual Kedua), penurunan had umur pemohon kerakyatan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun (Perkara 15A dan 19 (2)), dan hak kewarganegaraan bagi isteri bukan warganegara setelah pembubaran perkahwinan (Perkara 26 (2)) perlu diperhalusi dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap masa depan wanita dan kanak-kanak Malaysia.


"Ketiga-tiga cadangan ini dibimbangi bakal memburukkan lagi situasi warga tanpa negara (statelessness) di samping berpotensi mewujudkan isu-isu generasi kedua tidak bernegara.


"Kami percaya masih ada banyak ruang untuk ketiga-tiga cadangan ini diperhalusi secara tuntas oleh Kementerian Dalam Negeri tanpa menjejaskan pindaan utama kepada Perkara 14 (1) (b), yang sewajarnya menjadi satu-satunya pindaan yang dibentangkan.


"KDN harus meluaskan libat urus dan konsultasi secara menyeluruh yang mengambil serius pandangan-pandangan bukan sahaja oleh pakar, pembuat dasar dan masyarakat sivil, malah komuniti serta golongan rentan yang bakal terkesan secara langsung, misalnya komuniti orang Asal, masyarakat dari Sabah dan Sarawak yang sekian lama dibelenggu masalah warga tanpa negara, antara lain disebabkan masalah dokumentasi," katanya lagi.


Menurut Soraya, amat penting setiap cadangan pindaan dipertimbangkan dengan cermat mengambil kira implikasi jangka panjang demi memastikan hak asas kerakyatan bagi wanita dan kanak-kanak dapat dijamin.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page