Keluhan anggota bawahan KEADILAN bahawa pemimpin kurang memberi tumpuan kepada parti selepas diangkat sebagai Menteri atau sebagainya perlu diperbetulkan.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, pemimpin pada waktu ini terpaksa melakukan reformasi sistem dalam kerajaan yang telah tertinggal di belakang hampir satu generasi lamanya.
Oleh itu, katanya, tumpuan terpaksa dilebihkan kepada hal ehwal kerajaan dalam 2 tahun pertama pemerintahan.
"Kita ambil tampuk kepimpinan negara, perlu buat buat reformasi sekali gus. Kerana ia telah dilambatkan selama satu generasi. Banyak reformasi terutama bersabit ekonomi negara dilengahkan, maka kita tak ada masa nak tunggu
"Sebab itu 15 bulan lepas, sebahagian besar masa pimpinan parti ialah kepada kerajaan kerana keutamaan untuk memutuskan reformasi ini dilaksanakan secepat mungkin.
Keutamaan tak boleh lari, ia perlu pergi ke kerajaan terlebih dahulu
"Bila turun ke bawah rasa lesu (anggota), (ada rasa) dipinggirkan, itu adalah cabaran kita bersama," katanya dalam ucapan ulang tahun ke 25 KEADILAN di IDCC, Shah Alam.
Selain itu, Rafizi juga mengingatkan mengenai keperluan anggota untuk mengekalkan semangat reformasi kerana terdapat cabaran berlainan selepas KEADILAN memerintah.
Katanya, sebaik sahaja menang beberapa Kerajaan Negeri pada 2008 lalu, anggota parti menghadapi cabaran lantikan jawatan di peringkat negeri, manakala pada 2022 mereka menghadapi cabaran habuan lantikan di peringkat Persekutuan.
"Sebab itu umur 25 tahun ini, baik untuk semak semula jalinan untuk mengikat parti ini untuk 20 tahun akan datang.
"Kita dah lihat parti yang dapat kuasa. Dia tak cari jalan baru untuk bina kekuatan, cabaran baharu, maka mereka makin lemah dan hilang," katanya.
Rafizi membawa contoh kejatuhan syarikat pengeluar filem gergasi dunia, Kodak yang enggan berubah menghadapi arus digital. Kegagalan beralih kepada kamera digital, katanya, menyebabkan syarikat yang gah selama 100 tahun itu tidak lagi wujud pada hari ini
Oleh itu, kata Rafizi, anggota KEADILAN tidak boleh leka dan lalai.
Apatah lagi, katanya, siri pilihanraya akan bermula hujung tahun ini apabila Sabah mengadakan Pilihan Raya Negeri dan diikuti tahun seterusnya oleh Melaka, Sarawak dan Johor.
"Siri pilihanraya akan bermula seawal tahun depan, 2025. Kemudian 2026, bergantung kepada keputusan Perdana Menteri, piihan raya umum paling lama pun sekitar 2 tahun setengah dari tarikh kita ada sekarang.
"Oleh itu, konvensyen kali ini berbeza dengan ulang tahun pari lain. Mereka meraikan dan merayakan kejayaan parti. KEADILAN berbeza, kita kerah ahli, kita beri satu senarai kerja yang perlu dibuat hari ini di peringkat cabang cabang seluruh negara kerana persediaan PRU 16 akan bermula secara rasmi hari ini," katanya lagi.
Comments