Usul undi tidak percaya bukannya bertujuan untuk melakukan Langkah Sheraton versi Pakatan Harapan, sebaliknya ia dilakukan untuk mengembalikan semula mandat rakyat yang telah dikhianati Perikatan Nasional.
Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir menegaskan tindakan PN menjatuhkan kerajaan PH tanpa restu rakyat seharusnya tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak.
Malah katanya, rakyat harus sedar bahawa PN tidaklah begitu menumpukan isu menangani wabak COVID-19 semata-mata, sedangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya sentiasa bermain politik bagi mengukuhkan kedudukannya.
"Mungkin ada yang memikirkan tempoh COVID-19 tidak sesuai bercakap mengenai isu politik. Namun di sebalik tabir, bermacam-macam tindakan politik sedang dibuat bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka.
"Saya yang kini dianggap renegade (pengkhianat) dalam parti merasakan perlu melakukan sesuatu untuk mengembalikan mandat rakyat seperti mana dalam pilihan raya umum mengikut lunas undang-undang melalui Dewan Rakyat," katanya ketika sesi ceramah Kembalikan Mandat Rakyat.
Tambah Mukhriz, Langkah Sheraton tidak akan diulangi lagi oleh PH kerana tindakan itu hanya akan menghilangkan kepercayaan rakyat.
"Mengembalikan kuasa rakyat. Itu tujuan sebenarnya. Jangan difikirkan bila sudah ada Langkah Sheraton, akan ada langkah yang menidakkan Langkah Sheraton, tidak akan ada kesudahannya nanti.
"Jadi, apa yang kita nak lakukan adalah memperbetulkan keadaan. Kita nak pertahankan demokrasi berperlembagaan negara," katanya lagi.
Comments