top of page

PH Pahang perkukuh saf kepimpinan, gerak jentera hadapi PRU16

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
Barisan pimpinan PH Pahang sedia galas tanggungjawab menuju PRU 16
Barisan pimpinan PH Pahang sedia galas tanggungjawab menuju PRU 16

Pakatan Harapan (PH) Pahang tampil dengan barisan kepimpinan baharu dan gerak kerja yang diperkemas sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16, sekali gus memperlihatkan kesediaan gabungan itu untuk terus memperkukuh pengaruh di negeri berkenaan.


Mesyuarat Agung Tahunan Pakatan Harapan Negeri Pahang bagi Tahun 2025 yang berlangsung pada 24 Jun lalu menyaksikan pelantikan saf kepimpinan baharu yang bakal menerajui gerak kerja PH Pahang dalam tempoh mendatang.


Menerajui kepimpinan baharu itu ialah Datuk Ahmad Farhan Fauzi daripada KEADILAN sebagai Pengerusi, dibantu Timbalan Pengerusi I, Lee Chin Chen (DAP) dan Timbalan Pengerusi II, Mohd Fadzli Mohd Ramly (AMANAH).


Turut dilantik ialah Datuk Dr Suhaimi Ibrahim (KEADILAN) sebagai Setiausaha, Muhammad Ibrohim Mazalan (AMANAH) dan Leong Yu Man (DAP) sebagai Penolong Setiausaha, manakala Dr Sim Chon Siang (KEADILAN) diberi tanggungjawab sebagai Bendahari.


Bagi memperkukuh persiapan pilihanraya, Adnan Mohamed Lazim dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya, Rizal Jamin sebagai Pengarah Strategi dan Ibrahim Sulaiman sebagai Pengarah Komunikasi dan Penerangan.


Menurut kenyataan Sekretariat Pakatan Harapan Negeri Pahang, pelantikan itu diyakini mampu mengukuhkan struktur organisasi gabungan berkenaan supaya gerak kerja parti di semua peringkat dapat dilaksanakan secara lebih teratur, berfokus dan berpaksikan kepentingan rakyat.


Mesyuarat tersebut turut menetapkan beberapa agenda utama, antaranya menggerakkan sepenuhnya jentera KEADILAN, DAP dan AMANAH di seluruh Pahang bagi memastikan kesiapsiagaan optimum menjelang PRU16.


Sebagai tanda solidariti dan kesepaduan di peringkat nasional, PH Pahang turut bersetuju untuk membantu jentera pilihanraya di Johor dan Negeri Sembilan yang bakal menghadapi pilihan raya negeri.


Pada masa sama, gabungan itu akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan antara pimpinan dan akar umbi, memperluas gerak kerja penerangan serta memperhebat program khidmat masyarakat di seluruh negeri.


"Dengan kepimpinan baharu, semangat kebersamaan dan gerak kerja yang lebih tersusun, Pakatan Harapan Negeri Pahang yakin dapat terus memainkan peranan sebagai wadah politik yang progresif, bertanggungjawab dan dekat dengan rakyat dalam membawa agenda reformasi serta kesejahteraan rakyat," kata kenyataan itu.


PH Pahang turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memperkukuh perjuangan gabungan tersebut di negeri itu.


Pelantikan saf kepimpinan baharu ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Pakatan Harapan Pahang mula mengatur langkah lebih awal dan tersusun bagi menghadapi medan politik yang dijangka semakin mencabar menjelang PRU16.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page