top of page

PH teguh dukung agenda perangi rasuah, individu bersalah perlu selesai hukuman

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
9 hours ago
2 min read

Pakatan Harapan (PH) menegaskan komitmennya untuk terus mendukung usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.


Menurut Majlis Setiausaha PH, pendirian itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa disiasat secara menyeluruh.


"Pakatan Harapan memberi dokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.


"Pakatan Harapan juga menjunjung penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pernah disampaikan sebelum ini supaya setiap kes sebegini harus disiasat dengan menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah," katanya dalam kenyataan.


PH berkata, sebagai gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa,


"Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah, terutama bagi kes berprofil tinggi," katanya.


Tegas PH, prinsip kedaulatan undang-undang turut menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa dipengaruhi pertimbangan lain.


Jelas PH, pendirian berkenaan penting ketika Malaysia sedang berusaha memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.


Katanya, sebarang keputusan dalam kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda membanteras rasuah dan salah guna kuasa.


"Beberapa kes-kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut telah memberikan kesan yang besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.


"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara," katanya.


Justeru, PH menegaskan bahawa sokongan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang terhadap agenda Reformasi diperlukan oleh gabungan itu untuk kekal konsisten mempertahankan prinsip berkenaan walaupun berdepan tekanan.


"Pakatan Harapan dibina atas dokongan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda Reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.


"Amanah tersebut menuntut kami untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar dan berdepan tekanan dari pelbagai sudut," katanya.


PH berkata gabungan itu akan terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara serta mempertahankan prinsip Reformasi, kedaulatan undang-undang dan agenda membanteras rasuah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page