PH bertahan di 11 kerusi, tewas kerana kempen perkauman
- Helmi Mohd Foad

- 45 minutes ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menganggap kegagalannya mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 bukan berpunca daripada prestasi kerajaan negeri, sebaliknya disebabkan kempen berasaskan kaum dan identiti yang didakwa dimainkan secara agresif sepanjang tempoh berkempen.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat malam ini, PH hanya mampu mempertahankan 11 daripada 36 kerusi yang ditandingi, manakala Barisan Nasional (PN) mendahului dengan 18 kerusi dan Perikatan Nasional (BN) tujuh kerusi.
"Calon-calon Pakatan Harapan telah mendahului 11 kerusi dan menantikan pengesahan rasmi esok. Sebelas kerusi ini kita boleh anggap belum rasmi tetapi mengikut perkembangan pengiraan kita, 11 kerusi ini hampir pasti dimenangi Pakatan Harapan," katanya pada sidang media di Seremban malam ini.
Hadir sama Pengerusi PH negeri Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung AMANAH Faiz Fadzil serta Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad.
Melalui keputusan tidak rasmi, PH melalui calon DAP menang di Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya dan Lukut.
Calon KEADILAN pula menang di Chuah dan Sri Tanjung.
Aminuddin pula gagal merampas kerusi Linggi dan Setiausaha Agung DAP tewas tipis di Chennah.
Menurut Amirudin, corak kempen yang memfokuskan sentimen perkauman dan identiti telah menenggelamkan perbahasan mengenai isu sebenar yang dihadapi rakyat.
"Perkembangan kali ini memperlihatkan kempen perkauman yang luar biasa, bersifat identiti dan hampir sepenuhnya mampu menyemai unsur-unsur perpecahan dalam kalangan masyarakat di negeri dan negara.
"Saya percaya keadaan ini akan terus mewujudkan pergelisahan serta perasaan syak wasangka dalam kalangan rakyat, terutama antara kaum Melayu dan bukan Melayu," katanya.
Beliau berkata, isu penting seperti ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak serta kebajikan rakyat sepatutnya menjadi fokus utama sepanjang kempen, namun telah diketepikan.
Aminuddin berkata semua calon PH akan turun bertemu pengundi di kawasan masing-masing sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan.
"Calon-calon yang telah dipilih oleh rakyat akan meneruskan khidmat kepada rakyat dengan mendahulukan politik berteraskan nilai, prestasi dan perkhidmatan sebaik mungkin," katanya.
Mengulas hala tuju PH selepas keputusan PRN, beliau berkata gabungan itu masih mempunyai masa untuk memperkukuh pendekatan politik dan memperjelaskan rekod pencapaian kepada rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
"Kita masih mempunyai masa untuk menyusun mesej politik, menerangkan prestasi kita, data-data pencapaian serta perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih berkesan," katanya.
Ditanya sama ada prestasi kerajaan Persekutuan menjadi faktor kemerosotan sokongan, Amirudin menolak dakwaan itu dengan menegaskan trend keputusan menunjukkan faktor utama ialah retorik perkauman yang dimainkan sepanjang kempen.
"Jika anda tanya saya, kemampuan kerajaan Negeri Sembilan dan prestasinya adalah baik daripada segi pelaburan serta reformasi yang kita lakukan. Jadi kami merasakan apa yang berlaku sekarang lebih disebabkan permainan politik yang dilakukan," katanya.
Mengulas mengenai tanggungjawab terhadap keputusan pilihan raya itu, Aminuddin berkata seluruh kepimpinan PH akan memikul tanggungjawab secara kolektif.
"Sebagai pemimpin Pakatan Harapan, kami semua mengambil tanggungjawab bersama. Sudah tentu ia tidak bergantung kepada seseorang, tetapi kami akan mengambil tanggungjawab secara bersama," katanya.




Comments