Peruntukan RM7.5 bilion kontraktor Bumiputera, Tanah Rizab Melayu di KL


Kerajaan meningkatkan nilai perolehan yang dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion, berbanding RM4 bilion tahun ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah berganjak daripada amanah memperkasa ekonomi Bumiputera, dengan agenda itu terus dipacu menerusi pendekatan terangkum melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera.
"Buat pertama kali kerajaan menyediakan endowmen kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera pada 1978 berjumlah RM200 juta. Sejak 1981, tiada endowmen susulan diberikan.
"Oleh itu, atas waad dan tanggungjawab memperkasa ekonomi dan pemilikan Bumiputera, kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat petang tadi.
Anwar berkata, tanah berkenaan dihasratkan untuk dibangunkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan mengambil kira keperluan rumah mampu milik serta kepentingan Bumiputera.
Menurutnya, kerajaan turut mewartakan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu, selain PETRONAS memulakan pembangunan di kawasan seluas 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik.
Kerajaan juga bersetuju supaya tanah milik kerajaan hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur, dibangunkan bagi membina sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI, dengan 70 peratus daripadanya dikhususkan kepada Bumiputera.
Dalam usaha memperluas akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera, Anwar berkata TERAJU akan menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM1 bilion, selain memperkukuh keupayaannya memantau pelaksanaan projek Bumiputera merentas jabatan, agensi dan syarikat.
Dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) turut ditingkatkan kepada RM500 juta berbanding RM350 juta sebelum ini.
Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan duti setem RM10 bagi perjanjian pinjaman dan pembiayaan di bawah Skim CAKNA II yang akan diperkenalkan dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Kemudahan sama turut dilanjutkan kepada Skim CAKNA I sehingga 31 Disember 2030.
Anwar berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PETRONAS menyasarkan perolehan RM58 bilion daripada syarikat Bumiputera, manakala garis panduan perolehan GLC yang tidak disemak sejak 2006 akan diperbaharui mulai 2027.
Beliau berkata, kejayaan vendor Bumiputera tidak lagi hanya diukur berdasarkan nilai kontrak, sebaliknya turut mengambil kira pertumbuhan syarikat, inovasi dan keupayaan menembusi pasaran baharu.
Selain itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur RM2 bilion bagi memperkasa syarikat Bumiputera, termasuk membantu syarikat berpotensi menuju penyenaraian awam serta memperkukuh pemilikan hartanah strategik.
Menurutnya, Ekuinas dan PHB antara pihak yang akan membantu usaha berkenaan, manakala Khazanah dan TERAJU akan mewujudkan Dana Ciptawan bernilai RM250 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat Bumiputera bersaiz sederhana.
Dalam sektor tenaga bersih, kerajaan akan membangunkan taman solar berpusat untuk bangunan kerajaan menerusi pelaburan RM1.5 bilion, sekali gus membuka peluang kepada syarikat Bumiputera dalam bidang pembinaan, kejuruteraan dan penyelenggaraan.
Melalui projek solar LSS6, sebanyak 150 megawatt turut dikhususkan kepada syarikat Bumiputera bagi membantu mereka mengembangkan penyertaan dalam industri tenaga bersih.
Anwar berkata, Program 10 Juara Bumiputera juga diteruskan dengan peruntukan RM40 juta bagi membangunkan 15 syarikat berpotensi menjelang 2027.
Tegasnya, pelbagai langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pemilikan aset, meningkatkan keupayaan perniagaan dan memperluas peluang ekonomi Bumiputera secara mampan.



Nothing feels better than finally clearing a level that seemed impossible after dozens of attempts, geometry dash.