top of page

Pertumbuhan ekonomi 5.5% bukti keupayaan Kerajaan MADANI tadbir negara

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
53 minutes ago
2 min read

Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026 membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menterjemahkan dasar dan agenda pembangunan kepada pencapaian, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Beliau berkata, prestasi itu menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal positif, sekali gus mencerminkan daya tahan Malaysia dalam menghadapi persekitaran global yang mencabar.


Menurutnya, berdasarkan Laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Ketiga 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 16 Oktober lalu, ekonomi negara dianggarkan berkembang 5.5 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding 4.8 peratus bagi tempoh sama pada 2025.


"Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.7 mata peratusan, sekali gus menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negara yang terus positif.


"Bagi suku ketiga 2026, ekonomi Malaysia dianggarkan mencatat pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan.


Saifuddin berkata, prestasi ekonomi itu turut disokong perkembangan beberapa sektor utama, termasuk pembuatan yang berkembang 7.5 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku sebelumnya.


Katanya, pertumbuhan sektor pembuatan didorong industri berorientasikan eksport, khususnya produk elektrik, elektronik dan optik serta industri petroleum, kimia, getah dan plastik.


Sektor pertanian pula kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 1.3 peratus selepas menguncup 3.7 peratus pada suku kedua, didorong peningkatan pengeluaran subsektor kelapa sawit dan ternakan.


Sementara itu, sektor perkhidmatan yang menjadi komponen terbesar ekonomi negara berkembang 5.4 peratus, disokong aktiviti perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta kewangan dan insurans.


Beliau berkata, perkembangan itu turut mendapat perhatian pelabur antarabangsa, dengan laporan Reuters pada 5 Februari lalu mengetengahkan peningkatan minat pelabur global terhadap Malaysia.


Menurutnya, laporan bertajuk Global investors betting on 'rising star' Malaysia as foreign cash piles in itu menyatakan pelabur asing menyalurkan kira-kira AS$6.5 bilion ke dalam instrumen hutang mata wang tempatan Malaysia sepanjang 2025.


"Perhatian pelabur turut tertumpu kepada potensi Malaysia dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data, di samping perkembangan pasaran modal negara.


"Sudah tentu, faktor luaran seperti pergerakan dolar Amerika Syarikat dan perubahan landskap geopolitik turut mempengaruhi aliran modal antarabangsa. Namun, kestabilan pentadbiran, pengurusan fiskal dan hala tuju dasar yang jelas membantu meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang tersebut," katanya.


Bagaimanapun, Saifuddin berkata, prestasi ekonomi negara tidak boleh dinilai berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, kemudahan awam berkualiti dan kesejahteraan rakyat.


Tawaran PH di Melaka


Mengulas persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau berkata, empat prinsip berkenaan turut menjadi asas tawaran Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat negeri itu.


Katanya, pendekatan berkenaan memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, kesejahteraan masyarakat dan pengurusan berintegriti.


Saifuddin berkata, cabaran kos sara hidup, jurang pembangunan dan ketidaktentuan ekonomi global masih memerlukan perhatian serta tindakan berterusan.


Beliau menegaskan kemakmuran negara perlu dinikmati secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu di pusat ekonomi tertentu, sebaliknya turut melibatkan setiap negeri, bandar, daerah dan komuniti.


"Pada akhirnya, pencapaian ekonomi negara dan aspirasi pembangunan negeri perlu dinilai melalui hasil yang dapat dilihat dan dirasai dalam kehidupan rakyat.


"Itulah makna sebenar walk the talk — apabila komitmen disusuli tindakan, dan tindakan menghasilkan pencapaian," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page