top of page

Kerjaya pegawai kanan ATM ditambah baik, perkukuh pertahanan negara

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
1 hour ago
1 min read
DS Anwar mengadakan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM
DS Anwar mengadakan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM

Kerajaan bersetuju melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kemajuan kerjaya pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pengiktirafan terhadap amanah dan tanggungjawab besar mereka dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM yang dipengerusikannya bagi membincangkan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara.


"Pertemuan ini turut memberi ruang untuk kami meneliti tahap kesiapsiagaan setiap ketumbukan, selain keperluan perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan.


"[Ia] bagi memastikan keupayaan operasi ATM sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.


Anwar berkata pengukuhan pertahanan negara penting dalam mendepani landskap keselamatan dan geostrategik dunia yang kian kompleks dan mencabar.


"Saya menghargai pandangan dan maklum balas langsung daripada kepimpinan ATM kerana setiap dasar dan keputusan kerajaan mesti berpaksikan keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar pertimbangan di atas kertas," ujarnya.


Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan dan kebajikan warga ATM termasuk memastikan pengiktirafan setimpal diberikan terhadap tanggungjawab yang dipikul mereka.


Beliau menegaskan usaha mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara bukan hanya menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan, sebaliknya amanah bersama seluruh rakyat.


"Sesungguhnya mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air bukan sekadar tanggungjawab pasukan keselamatan tetapi amanah besar yang mesti kita junjung bersama," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page