top of page

Pertimbangkan buka semula industri pelancongan, utamakan pelancong telah divaksin



Industri pelancongan negara yang merudum sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac tahun lalu kelihatannya tidak akan pulih tahun ini apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah membayangkan penutupan sempadan negara dan larangan rentas negeri perlu dikuatkuasakan sehingga sekurang-kurangnya 70% rakyat menerima vaksin.


Bagi mantan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, khabar sedih itu menyebabkan keluhan dan keresahan kedengaran dari para pengendali syarikat pengembaraan, syarikat penerbangan, bas-bas persiaran, pemilik hotel dan homestay serta para kakitangan mereka.


Oleh yang demikian, beliau menggesa agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan beberapa langkah baharu bagi membuka semula industri pelancongan.


"Sebagai rakyat biasa, saya menghormati pendapat profesional Dr Noor Hisham yang menyebut 'janganlah kita mengulangi kesilapan lalu apabila rentas negeri dibenarkan pada bulan Disember lepas dan telah menyebabkan kes Covid 19 meningkat'.


"Namun begitu, suka saya mencadangkan agar Kerajaan PN menimbangkan semula larangan rentas negeri dengan mengambil kira beberapa faktor," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Bakhtiar lagi, ribuan rakyat Malaysia bergantung rezeki bukan sahaja kepada kemasukan pelancong asing tetapi juga bergantung harap dengan kehadiran pelancong tempatan.


Katanya, ramai daripada mereka berada di ambang putus asa kerana bakal kehilangan satu-satunya punca pendapatan untuk menampung kehidupan keluarga dan tidak mungkin boleh bertahan sehingga Februari 2022 menunggu 80% rakyat selesai diberi vaksin.


"Maka kerajaan perlu memikirkan (untuk waktu ini) menguatkuasakan had maksimum pelancong, dengan mengawal jumlah bilangan pengembara atau carrying capacity bagi kawasan dan tempat tumpuan pelancongan.


"Contohnya mereka menghadkan jumlah penerbangan dan feri ke Langkawi bagi mengawal jumlah kemasukan pelancong ke pulau itu. Bagi tempat-tempat yang telah mempunyai had kemasukan, peraturan ini boleh diketatkan dengan hanya membenarkan kemasukan melalui tempahan online terlebih dahulu dan tidak secara walk-in.


"Dengan ini kita boleh mengelakkan kesesakan tanpa sebab yang sememangnya menjadi salah satu punca merebaknya wabak Covid19," kata Bakhtiar.


Beliau yang merupakan Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pelancongan berkata, suntikan vaksin selain mengutamakan barisan hadapan juga harus diberi kepada anak-anak kapal syarikat penerbangan dan pekerja yang terlibat secara langsung dengan dunia pelancongan, seperti pekerja-pekerja di lapangan terbang, pemandu pelancong termasuk juga pelayan-pelayan di restoran sebaik sahaja barisan perubatan dan keselamatan selesai menerima vaksin mereka.


Selain itu, kata Ahli Parlimen Balik Pulau itu, sempadan negara tentu boleh dibuka kepada pelancong-pelancong yang telah diberi vaksin dan mempunyai dokumen lengkap vaksinasi.


"Kerajaan boleh (dalam beberapa bulan ini) membuka sempadan negara kepada pengembara-pengembara yang telah mendapat inokulasi vaksin serta mampu menunjukkan sijil digital yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara mereka. Keutamaan patut diberi kepada pengembara perniagaan dan peserta-peserta MICE seperti yang telah dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini.


"Saya percaya cadangan-cadangan saya di atas adalah amat mudah untuk dilaksanakan secara serta-merta. Saya berharap dengan cadangan itu dan kerajaan mencari SOP yang lebih sistematik, kita dapat memulihkan industri pelancongan dan tidak membiarkan industri ini terjejas lebih teruk," katanya.


Menurut Bakhtiar lagi, dari pemerhatian dan perbualan dengan rakan-rakan yang berpengalaman dalam industri pelancongan, sekiranya industri itu terus terjejas dalam beberapa bulan ini maka ia tidak akan mampu bangkit kembali seperti dahulu.


Memandangkan industri pelancongan antara penyumbang utama pendapatan negara, katanya, maka ekonomi Malaysia mungkin turut akan menjadi semakin lemah dan memberi kesan negatif pada masa akan datang.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page