Persempadanan semula pilihanraya S'wak: Tradisi, adat masyarakat perlu diutamakan
- Akmal Manaf

- 2 minutes ago
- 2 min read

Hubungan kekeluargaan, wilayah tradisi, adat dan kebudayaan masyarakat Belaga-Murum perlu menjadi pertimbangan utama dalam persempadanan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memastikan perubahan sempadan pilihanraya tidak memutuskan jaringan komuniti yang telah terbina sejak turun-temurun, tegas Senator Abun Sui Anyit.
Ahli Dewan Negara itu berkata, hubungan antara komuniti tidak semata-mata ditentukan oleh sempadan pentadbiran moden, sebaliknya terbentuk melalui pertalian darah dan kekeluargaan turun-temurun, rumah panjang, adat, budaya, sungai, tanah, kawasan mencari rezeki dan jaringan sosial yang telah terjalin antara komuniti sejak sekian lama.
Oleh itu, ujarnya, penentuan sempadan DUN perlu mengambil kira realiti kehidupan masyarakat di lapangan, bukannya semata-mata berdasarkan jumlah pemilih atau garisan yang dilakar di atas peta.
"Saya lebih selesa dan berpandangan bahawa Daerah Belaga serta wilayah-wilayah yang mempunyai hubungan tradisi, sejarah dan kebudayaan yang rapat dengan masyarakat Belaga dan Murum sewajarnya dipertimbangkan untuk kekal dalam N.78 Belaga dan N.79 Murum, sejauh mana ia selaras dengan prinsip dan kehendak Perlembagaan.
"Perlembagaan Persekutuan dan prinsip persempadanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengiktiraf kepentingan memelihara hubungan tempatan, selain mengambil kira kesukaran perhubungan dan pengangkutan khususnya di kawasan luar bandar.

"Dalam konteks pedalaman Sarawak, prinsip ini amat penting. Sebuah rumah panjang atau kampung mungkin hanya mempunyai jumlah pemilih yang kecil, tetapi hubungan mereka dengan komuniti lain boleh meliputi puluhan tahun atau bahkan beberapa generasi.
"Memisahkan komuniti tersebut melalui sempadan pilihanraya tanpa mengambil kira sejarah dan hubungan tempatan boleh menyebabkan wakil rakyat yang dipilih tidak lagi mewakili keseluruhan jaringan masyarakat yang sebenarnya saling berkait," katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, Abun menyeru SPR supaya meneliti secara khusus sempadan Daerah Belaga, termasuk komuniti dan rumah panjang yang mempunyai hubungan kekeluargaan turun-temurun, wilayah tradisi masyarakat pedalaman serta hubungan adat dan kebudayaan yang telah lama terjalin.
Pada masa sama, beliau meminta aspek hubungan antara komuniti Belaga dan Murum, sungai serta laluan perhubungan tradisional, jalan dan akses pengangkutan, selain kedudukan sebenar setiap Daerah Mengundi (PDM), turut diberikan pertimbangan sewajarnya.
"Kita tidak mahu persempadanan moden memutuskan hubungan masyarakat yang telah terbina jauh sebelum wujudnya sempadan politik hari ini.
"Saya tidak menuntut kerusi tambahan, (tetapi) saya menuntut persempadanan yang adil. Sekiranya tujuan penambahan kerusi DUN di Sarawak adalah untuk memperkukuhkan perwakilan rakyat, maka prinsip yang sama harus diterapkan kepada kawasan pedalaman.
"Sempadan yang mengambil kira hubungan kekeluargaan, sejarah, adat, kebudayaan, geografi dan perhubungan tempatan akan membolehkan wakil rakyat memahami masyarakat yang diwakilinya dengan lebih baik," ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.




Comments