Proses perobohan Stadium Shah Alam menggunakan kaedah konvensional tanpa bahan letupan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Langkah itu walaupun akan mengambil sedikit masa, namun jelasnya lebih selamat dan tidak memberi kesan kepada penduduk sekitar Seksyen 13.
"Minimum enam ke tujuh bulan untuk robohkan sebab dibuat secara manual. Kita fikirkan penyelesaian terbaik, memang boleh bom dan robohkan dalam masa beberapa saat tetapi akan beri kesan.
"Peringkat awal kita selesaikan perobohan dulu. Jika dapat siapkan tahun ini, hujung 2024 boleh tandatangan untuk fasa kedua," katanya dipetik.
Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk pembinaan semula Stadium Shah Alam yang menelan kos sekitar RM787-800 juta merangkumi peralihan dan menaikkan tapak, projek tebatan banjir dan integrasi stesen Aliran Transit Ringan (LRT).
Stadium Shah Alam versi baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi dikatakan setaraf dengan Stadium Anfield malah mungkin mengatasi kehebatan gelanggang kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Ia mempunyai kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton dan menariknya ia dilengkapi dengan sistem penyejukan tempat duduk.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.
Pengurus besar unit projek khasnya berkata fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam bermula bulan ini dan dijangka selesai pada Disember 2026.
Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz menjelaskan fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi.
Fasa terakhir untuk pembinaan terminal bersepadu dan hotel pula dijangka dimulakan antara Januari 2028 hingga Disember 2029.
Comments