
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan keputusan kerajaan memperluas bantuan e-Dompet 2023 kepada semua mahasiswa yang berkelayakan sebagai bukti kerajaan mendengar 'suara' mahasiswa.
Setiausaha Agung MPPK Rasydan Mohd Hassan berkata pemberian inisiatif itu relevan sejajar dengan ambilan kemasukan mahasiswa ke universiti yang bukan sahaja terdiri daripada mereka berusia 18 hingga 20 tahun, sebaliknya ada juga melepasi peringkat umur tersebut.
Bantuan RM200 itu katanya sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan golongan pelajar di institusi pengajian tinggi.
"Sekiranya kita hanya mengklasifikasikan mahasiswa itu kepada beberapa peringkat umur sahaja, ia mungkin tidak adil kepada mereka yang bergelar mahasiswa tetapi tidak berada dalam kumpulan umur tersebut," katanya dipetik Bernama.
Pada 7 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan e-Dompet 2023 memperluas kepada semua mahasiswa yang berkelayakan di negara ini bagi memastikan bantuan tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan berkenaan.
Selain Rasydan, keputusan Anwar itu turut disambut baik Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Aliff Naif Mohd Fizam dipetik berkata, langkah memperluas bantuan itu merupakan pendekatan inklusif oleh kerajaan bagi memastikan kebajikan golongan mahasiswa terus terjamin.
"Mahasiswa adalah golongan yang tidak mempunyai pendapatan dan tempoh pengajian memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun, justeru keputusan memperluas golongan penerima bantuan e-Dompet itu akan membantu lebih banyak pihak.
"Inisiatif ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak mendiskriminasi golongan mahasiswa yang memerlukan," jelasnya.