Perkukuh syiar Islam, Selangor bentang RUU Pentadbiran Agama Islam
- Suara Keadilan

- Aug 6
- 1 min read

Kerajaan Selangor pada Rabu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 ke Dewan Negeri Selangor (DNS)
Exco Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah (gambar) ketika membentangkan usul tersebut berkata, pindaan bagi memperkukuh kerangka perundangan Islam di negeri dengan memperkemas peruntukan sedia ada agar pelaksanaannya lebih teratur, berkesan dan selaras dengan keperluan pentadbiran dan perkembangan perundangan syariah.
"Cadangan ini merangkumi beberapa perkara utama antaranya menjelaskan kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menyediakan perkhidmatan bantuan guaman syarie dan sebagai pengantara kepada masyarakat Islam.
"Ia juga dapat menyusun semula struktur perundangan dan pengasingan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah, selain menambah baik beberapa peruntukan tatacara pembuatan fatwa supaya selaras dengan pentadbiran peringkat kebangsaan.
"Usul juga memperuntukkan kuasa MAIS untuk bertindak sebagai pempetisyen atau pemohon dalam prosiding pembahagian harta pusaka orang Islam selaras dengan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022," katanya dipetik laporan media.
Beliau sementara itu menjelaskan, perkhidmatan bantuan guaman syarie ketika ini hanya bersandarkan kuasa umum MAIS, manakala tatacaranya masih bergantung kepada prosedur pentadbiran dalaman.
"Pegawai MAIS juga telah lama menjalankan prosiding di Mahkamah Syariah bagi pihak MAIS berdasarkan Seksyen 80 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
"Namun demikian, kuasa tersebut pada masa ini hanya dilaksana melalui penentuan secara pentadbiran tanpa adanya peruntukan yang memperinci tatacara pelantikan, skop kuasa serta perlindungan liabiliti pegawai yang melaksanakan fungsi berkenaan," tambahnya.
Beliau turut memaklumkan, pindaan RUU berkenaan turut mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap tatacara pembuatan fatwa supaya selaras dengan amalan semasa, khususnya dari aspek penyelarasan dengan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan.




Comments