Perkukuh pembangunan bakat muda, pupuk kecemerlangan bidang sains
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi sokongan penuh dan bersedia menambah peruntukan kepada penganjuran program ASEAN Islamic Science Camp (AISC) bagi edisi tahun depan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) sokongan bagi memperluas skala program serta memberi peluang kepada penglibatan lebih ramai pelajar itu mencerminkan komitmen KPM dalam memperkukuh pembangunan bakat muda negara menerusi program bertaraf antarabangsa yang memupuk kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
"Dalam konteks ke hadapan, kita melihat bahawa anak-anak ini sesuailah dengan namanya sebagai permata dan ini mesti dilihat sebagai aset penting negara… melaksanakan agenda pendidikan dengan sokongan ini.
"Langkah ini diambil bagi memastikan penyertaan anak-anak dapat ditingkatkan serta perancangan program dapat dicanai dengan lebih mantap dan tersusun sebagai antara program utama (pendidikan) negara," katanya dipetik media tempatan.
Fadhlina sebelumnya berucap merasmikan majlis penutupan AISC 2026, di Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada Khamis.
Sementara itu Fadhlina menegaskan, pengukuhan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi keutamaan serta hala tuju utama negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pemupukan budaya STEM dan inovasi dalam kalangan pelajar diperkasakan menerusi pendekatan yang holistik serta seimbang dengan pembentukan karakter, nilai kemanusiaan dan sahsiah diri.
Program AISC 2026 yang berlangsung selama tujuh hari bermula 17 Julai lepas menghimpunkan seramai 165 pelajar berusia 13 hingga 16 tahun daripada 22 sekolah dan institusi.
Bertemakan “Empowering Young Muslim Scientists for a Sustainable Future” (Memperkasa Saintis Muslim Muda untuk Masa Depan yang Mampan) AISC 2026 menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggabungkan ilmu naqli (al-Quran dan hadis) dan aqli (rasional) dalam sains, teknologi dan inovasi.
Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran saintifik, aplikasi sains halal, kelestarian, penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar pintar berbakat.




Comments