top of page

Perkasakan TVET, subsidi baja, tuisyen percuma - Manifesto PH Bukit Naning

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 day ago
  • 2 min read
Ysahrudin (berbaju putih) ditemani Setiausaha Politik Perdana Menteri (kiri) Datuk Farhan Fauzi dan pemimpin KEADILAN Perlis, Azam Karap (kanan) dalam sidang media mengumumkan manifesto DUN Bukit Naning
Ysahrudin (berbaju putih) ditemani Setiausaha Politik Perdana Menteri (kiri) Datuk Farhan Fauzi dan pemimpin KEADILAN Perlis, Azam Karap (kanan) dalam sidang media mengumumkan manifesto DUN Bukit Naning

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni menggariskan lima tekad yang akan dilaksanakan demi manfaat rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.


Katanya, beliau bertekad untuk membina Bukit Naning sebagai kawasan yang lebih maju, sejahtera dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik untuk seluruh masyarakat.


"Bukit Naning mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai kawasan yang makmur dengan kekuatan sektor pertanian, perusahaan kecil, pendidikan serta masyarakat yang harmoni.


"Saya percaya pembangunan perlu dilaksanakan secara menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai setiap keluarga tanpa ada yang tercicir. Atas komitmen tersebut, saya menggariskan lima tekad sebagai agenda perjuangan saya.


"Tekad pertama ialah memperkasakan pendidikan kerana ia adalah pelaburan terbaik untuk masa depan anak-anak Bukit Naning. Oleh itu saya akan menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar di DUN Bukit Naning bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka.


"Saya juga akan memperjuangkan lebih banyak peluang latihan TVET dan kemahiran supaya anak-anak muda memiliki kemahiran yang diperlukan industri serta mampu memperoleh pekerjaan yang lebih baik," katanya pada sidang media yang diadakan petang tadi.


Tekad kedua ujarnya adalah berkaitan sektor kesihatan dan akan menyediakan perkhidmatan ambulans di bawah Pusat Khidmat DUN bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan ketika kecemasan.


"Saya juga akan melaksanakan program wakaf kesihatan seperti kerusi roda, katil pesakit dan peralatan asas untuk kegunaan klinik serta surau.


"Tekad ketiga tentang lestari pertanian, Bukit Naning terkenal sebagai kawasan pertanian yang menjadi sumber rezeki ramai penduduk.


"Saya akan memperjuangkan subsidi baja dan benih nanas bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran pekebun, di samping itu latihan dan model pertanian moden akan diperluaskan agar pekebun kecil dapat meningkatkan hasil dan produktiviti mereka," katanya lagi.


Seterusnya, Md Ysahrudin berikrar untuk memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu infrastruktur termasuk membaiki jalan raya, jambatan rosak dan menambah lampu jalan di kawasan kampung demi keselamatan penduduk.


Selain itu katanya, liputan internet di kawasan pedalaman juga bakal dipertingkatkan supaya rakyat tidak ketinggalan dalam era ekonomi dan pendidikan digital.


"Tekad terakhir mengenai kebajikan ihsan. Saya percaya amanah yang diberikan oleh rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat.


"Oleh itu saya komited untuk memulangkan sebahagian elaun gaji wakil rakyat kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan yang memberikan manfaat kepada golongan memerlukan.


"Saya juga akan meneruskan program kebajikan seperti agihan bakul makanan, bantuan kecemasan, dan inisiatif prihatin yang dapat membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page