Perjuangan Sebenar Mahasiswa Bukan Setakat Bakar Karikatur
- Suara Keadilan

- Jun 29
- 3 min read
Updated: Jul 1

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Gerakan mahasiswa diakui sebagai salah satu komponen watchdog dalam memastikan proses semak dan imbang berlaku dalam pentadbiran sesebuah kerajaan. Peranan gerakan mahasiswa dalam konteks Malaysia telah berlangsung semenjak tahun 1960-an lagi.
Aktivisme mahasiswa yang bermula di Universiti Malaya sekitar tahun 1960-an telah melahirkan ramai pemimpin masyarakat dalam pelbagai peringkat pentadbiran dan kepimpinan di seluruh Malaysia. Tunjang yang memastikan aktivisme mahasiswa terus bertahan dan aktif adalah keterbukaan golongan establishment untuk menerima kritikan daripada golongan mahasiswa, walaupun kadang-kala penyampaian kritikan tersebut kelihatan keras dan melampau.
Pendekatan yang digunakan oleh aktivis gerakan mahasiswa di Malaysia sepanjang sejarah kewujudannya telah menjadikan masyarakat melihat golongan tersebut dari dua sudut pandang berbeza. Pada satu sudut aktivis gerakan mahasiswa dilihat sebagai pemberontak dan pada satu sudut lain mereka dilihat sebagai reformis zaman.
Bakar karikatur PM
Kitaran aktivisme gerakan mahasiswa yang tidur untuk satu tempoh masa telah mula aktif pada tahun 2025 melalui tindakan mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memulakan tuntutan terhadap isu pentadbiran Jabatan Air Sabah (JANS) menggunakan platform Himpunan Gempur Rasuah 2.0.

Polemik mula timbul apabila peserta himpunan tersebut melakukan tindakan yang kurang beradab dengan membakar karikatur Perdana Menteri dan melaungkan kata-kata kurang sopan kepada beberapa tokoh pemimpin negara termasuklah institusi Yang di-Pertua Negeri (TYT).
Kepimpinan Kerajaan Madani menunjukkan sikap yang matang apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhaim (PMX) berpendirian agar mahasiswa UMS yang terlibat dalam Himpunan Gempur Rasuah 2.0 tidak dibuang pengajian. Kenyataan PMX itu membangkitkan sinar untuk gerakan mahasiswa terus berkembang aktif pada masa hadapan di Malaysia.
Jangan salah guna keterbukaan
Namun keterbukaan yang ditunjukkan oleh pemerintah pada hari ini tidak boleh diambil mudah oleh aktivis mahasiswa pada masa hadapan. Seharusnya aktivis mahasiswa di Malaysia bermuhasabah semula dan memperbetulkan pendekatan aktivisme mereka supaya menjadi lebih berkesan. Proses muhasabah ini boleh dimulakan dengan mengisi dada setiap aktivis mahasiswa untuk tidak hanya sekadar bertunjangkan aktivisme tetapi ia turut perlu diisi dengan idealisme, intelektualisme dan spiritualisme.
Perjuangan mahasiswa yang hanya dipandu oleh aktivisme boleh diibaratkan seperti tentera yang terjun ke medan perang namun tidak dilengkapi oleh pedoman, strategi dan matlamat. Tentera yang hanya berjuang atas dasar semangat telah menulis takdir kekalahannya sebelum peperangan tamat, kematian tentera ini walaupun kelihatan bergaya namun gagal untuk mencapai sebarang matlamat.
Sulam dengan budaya ilmu
Proses muhasabah seterusnya perlu dilakukan oleh aktivis gerakan mahasiswa dengan memperbaiki pendekatan aktivisme mereka yang hanya tertumpu kepada pendekatan radikal. Sememangnya diakui gerakan mahasiswa di Malaysia dalam sejarahnya pernah menggunakan pendekatan radikal untuk memperjuangkan isu Bahasa Kebangsaan, kemiskinan luar bandar dan kesejahteraan mahasiswa.
Namun pendekatan radikal tersebut sentiasa disulam dengan budaya ilmu. Sejarah membuktikan bahawa aktivis gerakan mahasiswa sentiasa bersedia untuk bertemu dan berdialog dengan pemimpin kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang diperjuangkan. Pendekatan radikal semata-mata hanya akan membangkitkan watak pemberontak dalam kalangan aktivis gerakan mahasiswa. Namun sulaman budaya ilmu yang ditonjolkan di atas pentas debat, wacana atau simposium akan memperlihatkan sisi akademik dan kepimpinan aktivis mahasiswa sebagai reformis zaman.
Sempena sambutan Maal Hijrah untuk tahun 1447, maka setiap pihak terutama aktivis gerakan mahasiswa perlu menanam semangat dan iltizam untuk memperbaiki diri dan pendekatan perjuangan mereka. Pendekatan untuk bersengketa dengan golongan establishment tidak akan menguntungkan matlamat yang mereka perjuangkan. Semangat aktivis gerakan untuk terus beraktivisme adalah disokong, namun dalam pada masa yang sama proses tajdid perlu turut berlangsung di dalam diri mereka.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Universiti Poly-Tech Malaysia









Comments