top of page

Penyalahgunaan AI: Undang-undang khusus sedang dirangka - Gobind

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 45 minutes ago
  • 1 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Digital kini berada dalam peringkat perancangan untuk merangka undang-undang khusus berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Menterinya, Gobind Singh Deo (gambar) berkata, pihaknya memandang serius potensi penyalahgunaan teknologi berkenaan yang boleh mengancam keharmonian masyarakat dan mengelirukan rakyat.


"Bagi menangani isu ini, kerajaan juga telah melaksanakan pendekatan berlapis yang merangkumi aspek perundangan, pemantauan kandungan, dan juga peningkatan kesedaran awam.


"Selain itu, Kementerian Digital telah menubuhkan jawatankuasa pembangunan akta AI bagi merangka dan memantau pelaksanaan draf undang-undang secara inklusif melibatkan semua pihak yang mempunyai kepentingan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa [BN-Tampin] mengenai sejauh mana pemantauan dan persiapan bagi mengekang penyalahgunaan atau ancaman teknologi AI yang semakin berkembang pesat dalam usaha untuk memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat khususnya menjelang musim Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Menjelaskan lebih lanjut, Gobind berkata, beberapa garis panduan turut diperkenalkan seperti garis panduan tadbir urus dan etika AI serta garis panduan pengadaptasian AI di sektor awam.


Katanya langkah itu adalah untuk memastikan penggunaan AI dalam kalangan masyarakat kekal terkawal dan beretika.


"Undang-undang sedia ada turut diperkukuh melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, Akta Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024.


"Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) juga sedang merangka Undang-Undang Jenayah Siber yang akan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997.


"Daripada aspek pemantauan kandungan dalam talian pula, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggunakan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk kesan serta mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan berbahaya dan penyalahgunaan teknologi seperti 'deep fake' terutamanya menjelang musim PRU yang berisiko dimanipulasi (maklumat) dan pengaruh terhadap persepsi awam semakin meningkat," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page