Penuntut dituduh pijak al-Quran dibuang universiti
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertindak tegas dan tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan berkaitan 3R.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias memaklumkan, seorang pelajar (gambar) yang dituduh di mahkamah kerana memijak al-Quran dan menghina Nabi Muhammad SAW pada 3 Mac lalu telah dikenakan hukuman buang daripada universiti.
"Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA sudah bersidang pada 9 Mac lalu.
"Berdasarkan tindakan tatatertib, penuntut itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti Dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib pelajar) 2024," katanya dalam satu kenyataan.
Pada 25 Februari lalu, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam melalui tindakan memijak al-Quran dan memuat naik gambar tersebut ke media sosial.
Kes tersebut menarik perhatian ramai termasuk pemimpin kerajaan yang menyifatkan perbuatan itu menyentuh kesucian agama serta keharmonian masyarakat.
Susulan itu, pada 3 Mac lalu, pelajar berusia 21 tahun itu, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lalu.
Tertuduh bagaimnapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit.
Sementara itu Dr Yatiman Alias dalam kenyataannya berharap tindakan terhadap pelajar itu menjadi pengajaran kepada warga universiti sama ada pelajar atau staf supaya lebih berhati-hati dalam semua perbuatan atau tindakan agar tidak mencemar nama baik universiti.
UMPSA tegasnya tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini.




Comments