Penularan hantavirus, bawaan tikus dipantau - Dr Dzulkefly
- Azuan Ab Rahman

- 11 hours ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) memantau rapi penularan jangkitan hantavirus susulan laporan penularan virus itu pada peringkat global.
"KKM akan terus memantau rapi perkembangan wabak ini pada peringkat global serta serantau bagi memastikan kesiapsiagaan sempadan dan sistem kesihatan negara berada pada tahap tertinggi," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) di media sosial.
Hantavirus ialah virus bawaan tikus yang boleh menjangkiti manusia melalui udara tercemar dengan sisa kotoran, air kencing atau air liur haiwan itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan terdapat lima kes hantavirus membabitkan penularan di atas kapal persiaran, manakala tiga lagi kes masih disyaki, termasuk tiga kematian.
Sementara itu menurut Dr Dzulkefly,walaupun terdapat laporan penularan jangkitan berpunca dari sebuah kapal persiaran di negara jiran, situasi itu terkawal dan tidak melibatkan rakyat Malaysia.
"Jangkitan ini tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus.
"Memandangkan sehingga kini tiada ubat antivirus khusus bagi merawat jangkitan, langkah pencegahan dan kawalan kendiri merupakan perlindungan paling berkesan," tambahnya.
Dr Dzulkefly sementara itu menggesa orang ramai memberi perhatian terhadap kebersihan persekitaran dan memastikan kediaman serta premis kerja bebas daripada haiwan perosak.
Beliau turut meminta orang ramai merujuk gambar infografik di platform media sosialnya bagi mendapatkan panduan mengenai gejala, cara penularan dan tatacara pembersihan kotoran haiwan yang selamat.




Comments