top of page

Pengundi muda nilai rekod PH, bantuan rakyat sebelum mengundi - Jufitri

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jul 19
2 min read

Pelbagai inisiatif bantuan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Sembilan merupakan bukti keprihatinan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan belia.


Menurut Senator Jufitri Joha (gambar), antara inisiatif yang mencerminkan penghargaan kerajaan kepada golongan marhaen ialah pemberian bantuan khas one off kepada penggali kubur.


"Saya yakin bantuan kerajaan Negeri Sembilan benar-benar dirasai rakyat. Sebagai contoh, penggali kubur mendapat bantuan one-off sebanyak RM1,000.


"Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan. Ini bagi saya sesuatu yang menghargai marhaen di bawah," katanya dalam dalam podcast #Nismilankita terbitan Jang Studio, petang tadi.


Selain itu, katanya Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif perkahwinan kepada anak negeri sebagai usaha membantu golongan muda memulakan kehidupan berkeluarga.


"Bagi orang muda yang berkahwin, kalau dia orang Negeri Sembilan dia dapat RM500. Cari pasangan dari Negeri Sembilan dah dapat RM1,000. Siapa nak beri RM1,000?


"Saya kahwin zaman BN, kalau kahwin zaman PH untunglah," katanya berseloroh.


Jufitri yang juga mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata hampir separuh daripada pengundi di Negeri Sembilan pada waktu ini terdiri daripada golongan muda, sekali gus menjadikan mereka kelompok penting dalam menentukan hala tuju negeri.


"Hampir separuh pengundi di Negeri Sembilan ialah orang muda. Kawasan bandar juga ramai orang muda, dan PH sudah berani menampilkan tokoh-tokoh muda.


"Selain calon senior, kita tampilkan calon muda untuk membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri," katanya.


Bagaimanapun beliau berkata, golongan muda kini banyak dipengaruhi oleh media sosial, justeru mereka perlu dibimbing supaya menjadi pengundi yang berpengetahuan.


"Sekarang ini orang muda dipengaruhi oleh algoritma, juga rakan sebaya dan keluarga.


"Kita kena terus mendidik mereka menjadi pengundi yang mempunyai maklumat. Sebelum mengundi kena tahu calon, apa manifesto, prestasi yang ditinggalkan kerajaan semasa. Kena banyak membaca daripada hanya mengikut trend," katanya.


Jufitri turut menggesa pengundi muda supaya membuat penilaian berdasarkan rekod pencapaian, idea yang dibawa calon serta prestasi parti yang mentadbir.


"Kita pesan pada orang muda, waktu mengundi tengok trek rekod, adakah bawa idea baharu, kemudian parti.


"Dalam konteks Negeri Sembilan, PH telah memerintah sejak 2018. Dari segi prestasinya, orang tak boleh nak persoal.


"Kita nak orang muda mesti berfikiran kritis, kena tengok perkara sebegini di samping pemimpin boleh mewakili pemikiran mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page