Pengampunan Najib: Hormati Perlembagaan, hanya bentuk hukuman diubah


Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak bagi membolehkan baki hukuman kes SRC International dijalani secara tahanan di rumah perlu dihormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan.
"Saya mengambil maklum keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib bagi membolehkan baki hukuman kes SRC International dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penghapusan terhadap sabitan mahkamah dalam kes SRC International.
"Pengampunan bersyarat ini harus difahami dengan tepat. Ia bukan bermaksud sabitan mahkamah dalam kes SRC International dipadamkan, sebaliknya merupakan keputusan berkaitan pelaksanaan baki hukuman tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
"Jika syarat dilanggar, pengampunan tersebut boleh terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara," katanya.
Dalam pada itu, Yahya berkata kerajaan perlu memastikan mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) tahanan di rumah dilaksanakan secara jelas, telus dan boleh dipertanggungjawabkan.
Menurutnya, aspek pemantauan, pergerakan serta penguatkuasaan syarat perlu diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan keputusan berkenaan mematuhi ketetapan yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan keputusan pengampunan bersyarat bagi kes SRC International perlu dibezakan daripada kes-kes perundangan lain yang masih berjalan.
"Pengampunan bersyarat bagi kes SRC tidak secara automatik menamatkan prosiding atau liabiliti Najib dalam kes-kes lain," katanya.
Sehubungan itu, Yahya berkata pendirian berkaitan perkara tersebut perlu berteraskan prinsip Perlembagaan, institusi Raja dan kedaulatan undang-undang.
"Pendirian kita jelas iaitu hormati Perlembagaan. Hormati institusi Raja. Hormati keputusan mahkamah dan pastikan tiada sesiapa berada di atas undang-undang," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa serta memperkukuh agenda Reformasi perlu diteruskan tanpa mengira pihak yang terlibat.
Katanya, keadilan tidak boleh hanya dilihat melalui siapa yang dihukum atau siapa yang diberi pengampunan, tetapi melalui sejauh mana institusi negara terus berfungsi berdasarkan Perlembagaan, undang-undang dan prinsip akauntabiliti.




Comments