Penerimaan masyarakat FELDA terhadap PH semakin positif - Faizul
- Azuan Ab Rahman

- 4 days ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N39 Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani menyifatkan penerimaan masyarakat FELDA terhadap PH ketika ini semakin positif berbanding lima hingga 10 tahun lalu.
Menurut Faizul, penerimaan itu adalah hasil dialog berterusan dan kesediaan rakyat kawasan FELDA untuk menilai sendiri gerak kerja serta rekod perkhidmatan gabungan itu.
"Kalau sebut PH di kawasan FELDA dulu, reaksinya berbeza. Ada yang berhati-hati dan ada yang hanya memerhati dari jauh.
"Hari ini perubahan itu semakin jelas. Masyarakat FELDA semakin terbuka, semakin positif dan semakin menilai berdasarkan kerja, bukan sekadar cerita politik lama," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai pencalonannya, Faizul calon Nombor 1 bagi kerusi tersebut berkata, beliau tidak hadir sekadar untuk bertanding, sebaliknya menawarkan diri untuk bekerja demi penduduk DUN Tanjung Surat.
"Tanjung Surat memerlukan wakil rakyat yang memahami isu lokal, mendengar suara masyarakat dan berani membawa agenda pembangunan untuk semua
"Fokus utama saya adalah untuk membawa politik lebih matang, berkhidmat dengan rendah hati dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran PH," jelasnya.
Faizul yang juga Mejar Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) sementara itu berkata, komitmennya untuk berkhidmat dan dekat kepada rakyat di Pengerang, khususnya di Tanjung Surat telah terbukti.
Sejak beberapa tahun lalu jelasnya, beliau telah membuka pejabat di Bandar Penawar sebagai pusat gerak kerja dan khidmat kepada masyarakat.
Malah banyak gerak kerja masyarakat, sukan, kesukarelawanan dan khidmat komuniti juga telah dilaksana bagi mendekati rakyat setempat.




Comments