
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menganggap pemulangan wang 1MDB membuktikan bahawa sememangnya wujud salah laku dalam pentadbiran terdahulu.
Ini selepas PH mengambil maklum tentang pemulangan RM16.6 bilion (USD3.9 bilion) dalam penyelesaian antara kerajaan Malaysia dan syarikat Goldman Sachs yang terlibat dengan salah laku dan penyelewengan dalam kes 1MDB.
Dalam kenyataan yang diwakili Anwar Ibrahim (KEADILAN), Mohamad Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP) menjelaskan bahawa proses pemulangan wang dari Goldman Sachs sebenarnya hanya bermula dengan kemenangan PH dan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
"Majlis Presiden ingin mengingatkan bahawa kerajaan PH tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini untuk hanya memulangkan USD 1.75 bilion, kerana jumlah penuh yang dituntut adalah USD7.5 bilion.
"Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini, termasuk Peguam Negara pada ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia.
"Pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu," menurut kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, Majlis Presiden PH menganggap siasatan kes 1MDB perlu diteruskan bagi menghukum pesalah laku yang telah memporak-perandakan negara.
"Proses keadilan dalam isu 1MDB masih belum selesai dan mesti diteruskan hingga ke penghujungnya.
"PH menegaskan bahawa semua watak utama dalam kes 1MDB mesti diadili di mahkamah, termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai "M01" dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan.
"Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja," katanya.
Comments