top of page

Pemuda Pas Perak namakan calon MB: Pas bakal ambil alih PN Perak?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

Kenyataan Pemuda Pas Perak yang menamakan beberapa individu dari parti itu sebagai calon Menteri Besar (MB) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 menimbulkan persoalan besar terhadap dinamika dalaman Perikatan Nasional (PN) di negeri berkenaan.


Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Shafiq Ariffin berpendapat, langkah tersebut dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa Pas negeri semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Bersatu di peringkat negeri, khususnya selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak susulan kemelut dalaman gabungan tersebut.


"Dalam konteks ini, tindakan Pas menamakan barisan calon MB daripada parti mereka sendiri dilihat bukan sekadar percaturan awal menghadapi PRU16, malah memberi gambaran bahawa Pas sedang menyusun langkah untuk mengambil alih pengaruh serta menentukan arah kepimpinan PN di Perak.


"Malah, langkah ini juga boleh ditafsir sebagai isyarat awal bahawa Pas sedang membuka jalan untuk merampas kedudukan Pengerusi PN Perak yang sebelum ini diterajui oleh Bersatu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Lebih menarik ujarnya, nama-nama yang dicadangkan itu tidak asing dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dengan sebahagian daripada mereka pernah berada dalam Kerajaan Negeri dan memegang jawatan penting termasuk sebagai exco kanan.


"Namun rakyat Perak juga masih mengingati bagaimana tempoh pentadbiran tersebut tidak terlepas daripada pelbagai kelemahan dan kegagalan dalam mengurus negeri.


"Keadaan ini sangat berbeza dengan pendekatan Kerajaan Perpaduan hari ini yang memberi tumpuan kepada kestabilan pentadbiran, kesinambungan pembangunan serta usaha menyelesaikan isu rakyat secara lebih tersusun dan bertanggungjawab.


"Justeru, tindakan menamakan calon MB lebih awal ini dilihat lebih kepada percaturan kuasa dalam gabungan mereka sendiri berbanding usaha serius untuk menawarkan kepimpinan terbaik kepada rakyat Perak," katanya.


Sebelum ini, Pemuda Pas Perak dilaporkan menamakan lima pemimpin parti itu yang dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai calon MB jika Pas memenangi PRU16.


Pengarah Strateginya, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, barisan tokoh berkenaan terdiri daripada pemimpin berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan selain mempunyai pengaruh tersendiri di peringkat akar umbi.


Menurutnya, antara nama disebut ialah Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas serta Ahli Parlimen Bagan Serai.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page