Pembangkang perlu bentang Belanjawan Alternatif, buktikan keupayaan memerintah


Pembangkang yang bercita-cita mengambil alih pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) harus membentangkan Belanjawan Alternatif bagi membolehkan rakyat menilai wawasan, keupayaan dan hala tuju ekonomi yang ditawarkan.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pembangkang yang dipimpin Ketua Pembangkang daripada Parti Wawasan, dan Pas mendakwa sebagai parti Melayu terbesar, masih belum mengemukakan belanjawan yang komprehensif untuk dinilai rakyat.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, pembangkang bukan sahaja berperanan sebagai semak dan imbang tindakan kerajaan, malah perlu menawarkan dasar serta penyelesaian alternatif.
"Di United Kingdom, pembangkang mempunyai Shadow Cabinet atau Kabinet Bayangan yang berperanan mengemukakan dasar alternatif kepada kerajaan.
"Rakyat boleh menilai bukan sahaja kelemahan kerajaan, tetapi juga kemampuan pembangkang menawarkan penyelesaian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tze Tzin berkata belanjawan itu akan menggariskan wawasan, keutamaan pembangunan serta strategi pengurusan kewangan negara bagi tahun hadapan.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan ketiadaan Belanjawan Alternatif daripada pembangkang selepas lima kali belanjawan di bawah Kerajaan MADANI.
Timbalan Menteri MITI itu turut mengemukakan beberapa persoalan yang menurutnya perlu dijawab pembangkang, termasuk langkah konkrit menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang, mengurangkan defisit fiskal serta mengurus hutang kerajaan secara bertanggungjawab.
Rakyat berhak dapat jawapan
Selain itu, beliau yang juga Pengarah Strategi KEADILAN mahu pembangkang menjelaskan projek pembangunan dan pelaburan strategik yang akan diutamakan sekiranya diberi mandat memerintah, sumber hasil bagi membiayai janji mereka serta pendekatan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Rakyat berhak mendapat jawapan, lebih-lebih lagi daripada parti-parti yang bercita-cita untuk mengambil alih Putrajaya," katanya.
Menurut Tze Tzin lagi, politik yang sihat sepatutnya berteraskan persaingan idea, dasar dan penyelesaian, bukannya sekadar slogan, kritikan serta tuduhan terhadap pihak lawan.
Beliau berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, gabungan itu konsisten membentangkan Bajet Alternatif dan sebahagian cadangannya turut diguna pakai kerajaan ketika itu.
"Kami faham bahawa bukan semua perancangan kerajaan semestinya betul. Sebab itulah pembangkang yang kuat dan konstruktif amat penting dalam sistem demokrasi," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencabar pembangkang mengemukakan Belanjawan Alternatif sekiranya benar-benar bersedia mengambil alih pentadbiran negara, supaya rakyat dapat menilai cadangan serta perancangan ekonomi yang ditawarkan.
"Negara maju apabila politik berlumba menawarkan penyelesaian, bukan sekadar mencari kesalahan," jelasnya.



Comments