Pelaburan RM170 bilion dari usahawan Republik Rakyat China merupakan pengiktirafan kepada kestabilan politik Malaysia yang diwujudkan oleh Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelaburan sebesar itu yang sudah lama tidak dinikmati Malaysia juga menunjukkan kewibawaan PM Anwar mewujudkan keyakinan bahawa Malaysia bakal berkembang menjadi negara perdagangan tersohor di bawah kepimpinan beliau.
"Dari segi ekonomi, hakikat bahawa komitmen pelaburan yang diumum PM yang mencecah nilai RM170 bilion sudah tentu mencerminkan keyakinan pelabur dari China yang sekarang jadi rakan dagang terbesar negara kita
"Sudah lama kita tidak mendengar komitmen pelaburan dalam jumlah yang begitu besar.
"Dalam konteks ini, PM bukan sahaja umum pelaburan tetapi juga menggesa supaya di peringkat negara, kita harus komited dalam bentuk mempermudahkan urusan menjalankan perniagaan (ease of doing business) yang selalu dia (PM) ulang ulangkan di kalangan penjawat awam yang bertanggungjawab dalam urusan tersebut," kata Saifuddin kepada Suara Keadilan.
Selain itu, kata Setiausaha Agung KEADILAN lagi, sambutan negara yang diberikan oleh kerajaan China kepada delegasi Malaysia juga amat mengujakan.
Malah katanya, China mengaturkan Anwar sebagai ketua kerajaan asing pertama yang bertemu Presiden Xi Jinping selepas pemimpin itu dan kabinetnya dilantik semula menerajui negara kuasa besar berkenaan.
"Dari segi politik, ini adalah lawatan pertama PM ke negara China atas kapasiti sebagai PM dan dia berpeluang menjadi pemimpin luar negara terawal diberi kesempatan berjumpa Presiden China, Xi Jinping.
"Tentu itu satu yang sangat signifikan dalam konteks hubungan politik Malaysia - China," katanya.
Lawatan PM Anwar yang sangat sukses ke China ini menutup mulut pengkritik dari PN yang mempertikaikan kononnya Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz al Saud tidak mahu bertemu delegasi Malaysia dalam lawatan minggu lalu.
Berbanding Arab, negara China adalah kuasa kedua besar dunia dari segi ekonomi dan kententeraan. Tentunya sambutkan luar biasa yang diberikan kepada PM Anwar dan delegasinya merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia ke atas Malaysia.
Comments