
Lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China mencatat kejayaan besar kali ini kerana pelabur yang masuk ke Malaysia diberi syarat untuk menyediakan peluang pekerjaan hampir 90% kepada rakyat tempatan dan tidak membawa masuk buruh dari China seperti sebelum ini.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar (PH - Tambun) menegaskan hal demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Fong Kui Lun (PH - Bukit Bintang) dalam sesi tanya jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
"Keseluruhannya (nilai) RM170.07 bilion yang merupakan pelaburan terbesar dicapai oleh negara.
"Manfaat berikutnya soal peluang pekerjaan. Berbeza pengalaman lalu kita menekankan dua peluang tambahan. Pertama, Geely, Wang Sheng (syarikat petro-kimia) menetapkan bahawa semua peluang pekerjaan ditumpukan kepada masyarakat tempatan, semua peluang perniagaan sampingan (hiliran) dalam lingkaran projek mereka dikendali oleh syarikat tempatan. Mereka hanya minta profesional yang tidak ada keupayaan dalam negara.
"Selain itu, kita mencadangkan dan dipersetujui, bermula dengan Geely yang merupakan pelabur terbesar, untuk mengadakan program latihan khas bagi anak tempatan, sama ada sebahagiannya di Malaysia atau di negara China.
"Geely juga bersetuju untuk bermula tahun ini dan tindakan susulannya bulan depan, di mana pengerusinya akan hadir (ke sini) untuk menetapkan Malaysia sebagai pusat Geely bagi rantau Asia Pasifik.
"Jadi ini akan menyebabkan peluang pekerjaan kita akan jauh lebih bertambah daripada sebelum itu," katanya.
Selain itu Anwar berkata, terdapat 5 memorandum kerjasama antara negara dan negara yang ditandatangani disaksikan beliau dan PM China, Li Qiang
MoU itu katanya akan meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan import dan eksport bahan pertanian, pendidikan, makanan akukultur serta usaha untuk meningkatkan penggunaan sawit dan import sawit.
Juga inisiatif belt and road, termasuk twin country twin park yang berpusat di Kuantan serta ECRL. Manakala perkembangan baharu, katanya, ialah penambahan projek automatif hi-tech valley Geely dan Proton yang bermula tahun ini di Tanjung Malim seribu ekar, dengan permulaan RM2 bilion dan akan mencecah RM32 bilion.
"(Dalam hal ini) syarikat petro kimia terbesar dunia Wang Sheng telah bersetuju untuk menambah kegiatan di Malaysia dengan memusatkan proses pengilangan petro-kimia di Pengerang, mereka meletakkan projek itu RM80 bilion," katanya lagi.