Pekebun, pengusaha Sarawak bimbang lori LRD tak dapat diesel bersubsidi


Golongan pekebun kecil, pengusaha logistik dan kontraktor di Sarawak berdepan kebimbangan terhadap pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 susulan status lori jenis rigid dumper (LRD) yang didakwa tidak tersenarai dalam kategori kenderaan layak.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, beliau menerima pelbagai aduan daripada pekebun sawit kecil, pemilik lori serta pengusaha pengangkutan bahan binaan dan hasil pertanian di kawasan pedalaman yang khuatir tidak mendapat diesel bersubsidi dan bakal mengalami peningkatan kos menjalankan operasi pertanian.
"Saya menerima banyak pertanyaan dan aduan daripada pelbagai pihak termasuk pekebun sawit kecil, pemilik lori perdagangan kecil dan besar, pengusaha pengangkutan bahan binaan, pasir, batu, tanah, hasil pertanian serta pemilik jentera berat dalam sektor pertanian, perladangan, pembinaan dan operasi di kawasan pedalaman Sarawak (berhubung subsidi diesel)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara isu utama adalah status kelayakan lori rigid dumper atau tipper sama ada dalam kategori persendirian (BF) atau perdagangan (BB), yang ketika ini didakwa berada di luar senarai rasmi 23 kategori kenderaan di bawah SKDS 2.0.
"Sekiranya kategori lori rigid dumper ini terus tidak diiktiraf, implikasinya amat besar termasuk kehilangan akses kepada diesel bersubsidi, kuota terhad serta peningkatan kos operasi harian," katanya.
Beliau berkata, situasi itu turut berisiko menyebabkan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha akibat kekeliruan pematuhan undang-undang.
Menurutnya, ramai pekebun sawit menggunakan lori jenis berkenaan untuk mengangkut hasil pertanian, namun permohonan mereka ditolak kerana klasifikasi kenderaan walaupun kegunaan sebenar adalah untuk sektor pertanian.
"Dalam keadaan pekebun kecil berdepan kenaikan kos baja, racun dan tekanan ekonomi global, kerajaan wajar mempertimbangkan penambahan kategori lori rigid dumper BF dan BB sebagai kategori rasmi di bawah SKDS 2.0," katanya.
Tambah beliau, bagi kategori perdagangan, lori tersebut memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan, jambatan dan perumahan, justeru penafian subsidi boleh memberi kesan rantaian kepada kos projek dan akhirnya rakyat.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam menangani ketirisan subsidi dan penyeludupan, namun menegaskan keperluan pelaksanaan yang adil.
"Saya memahami dan menyokong penuh usaha Kerajaan MADANI serta KPDN dalam menangani ketirisan subsidi, membanteras penyeludupan minyak bersubsidi dan memperkukuh keselamatan tenaga negara.
"Namun demikian, pelaksanaan dasar yang baik perlu disertai dengan keadilan kepada golongan yang benar-benar bergantung kepada diesel untuk kelangsungan ekonomi harian mereka," katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa bermula 1 April 2026, kerajaan telah menguatkuasakan had pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, termasuk 50 liter bagi kenderaan ringan, 100 liter bagi kenderaan bawah tiga tan dan 150 liter bagi kenderaan berat melebihi tiga tan setiap pembelian.
Pembelian bahan api melebihi 20 liter ke dalam bekas memerlukan permit khas selaras dengan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Namun katanya, terdapat aduan berhubung kelewatan dan birokrasi dalam proses kelulusan permit khas bagi jentera berat walaupun dokumen lengkap telah dikemukakan.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPDN menyemak semula senarai kategori SKDS 2.0, mempercepatkan proses kelulusan permit serta mengurangkan kerenah birokrasi yang menjejaskan operasi harian sektor luar bandar.
"Dasar subsidi bersasar harus dilaksanakan secara menyeluruh, adil dan realistik berdasarkan keperluan sebenar rakyat di lapangan, khususnya di Sarawak yang mempunyai cabaran geografi dan logistik berbeza," katanya.
Beliau menegaskan akan terus membawa suara pekebun kecil dan komuniti luar bandar agar pelaksanaan dasar nasional lebih inklusif serta tidak meminggirkan golongan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.




Comments