Pandemik ekonomi kesan wabak Covid 19 memerlukan pendekatan baharu dari kerajaan Perikatan Nasional agar golongan berpendapatan rendah tidak terlalu tertekan meneruskan kehidupan.
Sehubungan itu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengarahkan syarikat besar atau konglomerat berkongsi kemakmuran yang mereka nikmati ketika suasana ekonomi baik kepada rakyat yang menghadapi situasi pembuangan pekerjaan dan pemotongan gaji.
"Jumlah pengangguran meningkat besar, 850,000 orang dan (ramalan mungkin) mencecah 1.5 juta. Jadi kalau kita menceritakan yang lunak-lunak, yang baik (maka tidak menepati realiti). Tetapi 1.5 juta orang hilang pekerjaan akan menjadi masalah ekonomi dan sosial yang berat.
"Kesempatan ini juga diambil oleh konglomerat kaya, baik di Amerika Syarikat, Barat dan juga di Malaysia, ketika pandemik ekonomi yang membebankan rakyat terbanyak, golongan atasan kecil yang maha kaya terus merebut kekayaan. Hal ini menyebabkan kesenjangan (jurang pendapatan kaya-miskin) itu melebar.
"Saya fikir pemerintah yang bertanggungjawab harus mengambil tindakan segera supaya hal ini tidak terus berlaku. Mengambil beberapa kebijakan ekonomi dan mengarahkan kepada konglomerat supaya keuntungan besar itu dipindahkan kepada rakyat," katanya dalam sesi siaran Facebook malam tadi.
Anwar berharap formula seperti itu, yang mungkin berupa pengurangan caj, subsidi atau kelonggaran bayaran kepada pelanggan-pelanggan perkhidmatan syarikat-syarikat besar akan mampu memperbaiki kesukaran kehidupan yang dihadapi rakyat sekarang ini.
Comments