top of page

Op Viking: Polis sahkan Victor Chin antara 10 ditahan terlibat ubah wang haram

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Polis Malaysia mengesahkan ahli perniagaan Victor Chin Boon Loong antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Ops Viking dari 15 Oktober lalu hingga 13 Januari lepas.


Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman Datuk Fazlisyam Abd Majid berkata Chin telah ditahan pada Disember lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis namun ahli perniagaan itu mungkin dipanggil semula sekiranya perlu.


Beliau berkata sembilan individu lain yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dalam siasatan kes itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala 40 lagi telah dipanggil untuk memberi keterangan.


"Bukit Aman telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktivti Haram 2001 (Akta 613) berkaitan kes Op Viking.


"Siasatan telah dibuka pada 14 Oktober tahun lepas hasil maklumat dan risikan aktiviti jenayah pengubahan wang haram sejak 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.


Fazlisyam berkata kesalahan berat yang turut berkaitan dengan siasatan tersebut ialah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Akta Syarikat 2016.


"Kes ini melibatkan beberapa individu yang kita syaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian," katanya.


Beliau berkata menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan (RM64,246,417) dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.


Fazlisyam juga berkata siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menguruskan wang yang berasal daripada aktiviti haram.


"Dalam menjalankan siasatan Op Viking sebanyak 41 individu telah diambil keterangan di bawah Seksyen 32 Akta 613. Siasatan masih diteruskan untuk mengumpul bukti dan keterangan bagi kes ini," ujarnya.


Pada 16 Mac lepas, polis telah menyerbu beberapa premis milik Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat.


Dalam pada itu, Fazlisyam berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Chin bahawa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu manipulasi korporat yang dihadapinya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page