Kontroversi pelantikan Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibtahim hari ini.
Menurut Anwar, pelantikan Nurul di kedua dua kementerian tidak melibatkan sebarang kos kerana dilakukan atas dasar sukarela tanpa bayaran dan seharusnya tidak pertikaikan.
"Soal Nurul Izzah di pejabat, memang saya pelawa dia untuk membantu saya sebagai penasihat di JPM dan Kementerian Kewangan. Tetapi saya tidak membayar apa apa elaun kepada dia," katanya ketika ditemui wartawan di Tambun, Perak petang tadi.
Mengenai pembangkang mempersoalkan kelayakan Nurul untuk menasihatkan kementerian, Anwar berkata mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai kelulusan yang diperlukan, iaitu ijazah dalam dasar awam.
Katanya, pemimpin PN yang mempersoalkan hal tersebut juga pernah menjadi Menteri dalam potforlio yang tidak seiring dengan kelulusan mereka.
"Pertama saya tiada kelulusan kewangan (untuk menjadi Menteri Kewangan). Saya Menteri Kewangan 8 tahun sebelumnya (1991 - 1998), dan menteri PN pun sama juga.
"Menteri dari Bersatu dan Pas untuk (potforlio kementerian) tiada sama dengan kelulusan masing masing. Tetapi bila kita (pembangkang) bangkitkan, mesti konsisten. Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti doktor, atau pun seorang Menteri Air mesti jurutera? Tidak pernah berlaku macam itu.
"Walau bagaimanapun untuk Nurul, ijazah pertama (beliau) kejuruteraan, ijazah kedua dari salah satu universiti terkemuka Amerika Syarikat, dasar awam. John Hopkins University in public policy, dasar awam, politik, ekonomi dan sosial," kata Anwar lagi.
Kontroversi mengenai pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat tercetus apabila media The Star menyiarkan temubual bersama Naib Presiden KEADILAN itu, yang mendedahkan beliau dilantik ke jawatan berkenaan.
Pihak pembangkang mempertikaikan dari segi kelayakan dan nilai elaun yang diterima Nurul di atas pelantikan berkenaan.
Comentarios