Nurul Izzah optimis PH kekal dominan: Pengundi Johor pilih masa depan lebih terjamin
- Noraini Nordin

- 1 hour ago
- 1 min read

(Temubual eksklusif bersama Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar)
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, optimis Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan prestasi cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menafikan dominasi dua pertiga pihak lawan, Barisan Nasional.
Dalam temu bual khas bersama penulis, Nurul Izzah berkata fokus utama PH bukan hanya sekadar memenangi kerusi tetapi memastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar berani memperjuangkan suara rakyat.
Menurut beliau, rakyat Johor mahukan pembangunan yang lebih seimbang, peluang pekerjaan berkualiti, kemudahan asas yang lebih baik serta perancangan pembangunan yang mampu menghadapi cabaran masa depan termasuk perubahan cuaca ekstrem.
Beliau menjelaskan manifesto "Johor Untuk Semua" dirangka hasil daripada maklum balas rakyat selepas siri libat urus di lapangan, khususnya berkaitan kebimbangan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keperluan mengurangkan penghijrahan anak muda Johor mencari rezeki di Singapura.
Maklum balas positif manifesto
Nurul Izzah berkata maklum balas terhadap manifesto setakat ini amat memberangsangkan namun keputusan akhir tetap diserahkan kepada kebijaksanaan rakyat Johor dan ketentuan Allah SWT.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan calon PH, beliau memaklumkan semua calon telah melalui penilaian termasuk aspek psikologi bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran kempen.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai kekangan, jentera dan calon PH terus menunjukkan semangat tinggi dengan pelbagai pendekatan mendekati rakyat termasuk program kemasyarakatan dan keagamaan.
Menjelang pengundian awal, Nurul Izzah turut menyeru semua pengundi, khususnya pengundi awal, supaya keluar mengundi tanpa rasa takut atau tertekan.
Beliau menggesa rakyat Johor membuat pilihan berdasarkan prestasi, dasar dan komitmen calon yang benar-benar bersedia membawa suara rakyat demi masa depan Johor yang lebih maju.




Comments