top of page

NSRC sita RM32.49 juta dana scam, pemulangan kepada mangsa meningkat

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 21 hours ago
  • 2 min read

Pihak berkuasa Malaysia berjaya menyita dana sejumlah RM32.49 juta dana penipuan dalam talian melalui peranan dimainkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sejak penubuhannya pada 2022, dengan hampir RM11 juta telah dipulangkan semula kepada mangsa melalui proses perundangan.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan fungsi NSRC yang kini beroperasi 24 jam menerusi talian 997 dalam menyekat transaksi mencurigakan dan menghalang aliran keluar dana mangsa dengan pantas.


"Berdasarkan statistik bagi tempoh 2022 hingga 2025, sebanyak RM25.2 juta dana berjaya disita, manakala RM7.3 juta atau 29 peratus telah dipulangkan kepada mangsa.


"Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula, NSRC menyita RM7.25 juta, dengan RM3.57 juta atau 49 peratus berjaya dipulangkan kepada mangsa," katanya dalam jawapan bertulis Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang dimuat naik di laman web Parlimen.


Dalam usaha memperkukuh tindakan terhadap jenayah siber, Saifuddin Nasution berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperluas kerjasama dua hala dengan negara-negara berkepentingan menerusi perkongsian maklumat risikan serta operasi tangkapan melibatkan kerjasama terus antara pasukan polis.


Dari segi kerjasama antarabangsa, beliau menyatakan Malaysia telah menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan jenayah siber dan sedang dalam proses menyertai Konvensyen Budapest berkaitan jenayah siber.


Katanya kedua-dua konvensyen tersebut dapat memperkukuh kerjasama dalam aspek penyiasatan, pertukaran bukti digital, ekstradisi penjenayah siber serta perkongsian maklumat bersama Interpol dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).


Selain itu, kata beliau, Malaysia turut bekerjasama dengan ASEAN Singapore Cybersecurity Centre of Excellence (ACCP) bagi meningkatkan keupayaan pegawai PDRM dalam bidang keselamatan siber dan menangani ancaman baharu termasuk penyalahgunaan teknologi deepfake.


"Peningkatan peratus pemulangan dana ini membuktikan bahawa fungsi NSRC sebagai pusat respons scam nasional semakin efektif dan dipercayai rakyat," menurut beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page