New Age Movement: Tiada kompromi ajaran menyeleweng - Dr Zulkifli


Kerajaan akan menyiasat dakwaan berkaitan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan ajaran atau kefahaman New Age Movement (NAM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, kerajaan sentiasa mempertahankan kesucian akidah umat Islam dan tiada sebarang layanan berbeza diberikan terhadap mana-mana ajaran yang menyeleweng daripada akidah Islam.
"Tak ada (layanan berbeza). Kita memang mempertahankan kesucian akidah umat Islam. InsyaAllah kita akan teruskan dengan melakukan segalanya untuk memastikan kesucian dan kemuliaan akidah umat Islam di Malaysia," katanya dipetik laporan media tempatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pondok Darul Furqan, Tambun pada Isnin.
Isu gerakan New Age Movement (NAM) mendapat perhatian selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, sesi penjelasan itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM, serta pihak berkaitan bagi memastikan isu tersebut diteliti mengikut disiplin akidah, autoriti agama, dan kerangka pemikiran NAM.
Hasil pertemuan itu, beberapa teguran, nasihat, serta panduan telah disampaikan berkaitan kandungan dan pendekatan program yang dikhuatiri boleh memberi implikasi kepada pemahaman agama serta akidah umat Islam.
Difahamkan, pertemuan diadakan susulan dakwaan yang mengaitkan Marhamah dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, penggunaan azimat serta ajaran NAM. Walau bagaimanapun, Pejabat Timbalan Menteri menafikan sekeras-kerasnya kesemua tuduhan berkenaan.




Comments