Negeri Sembilan sasar tingkat hasil padi, kukuh sekuriti makanan
- Suara Keadilan

- Dec 11, 2025
- 1 min read

Kerajaan Negeri Sembilan bertekad untuk memperkukuh sekuriti makanan negeri itu dengan menyasarkan peningkatan purata hasil padi daripada empat tan sehektar kepada tujuh tan sehektar menjelang 2030.
Exco Pertanian dan Makanan Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Kerajaan Negeri sedang memulihkan 1,150 hektar sawah terbiar, khususnya di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin, merangkumi 13 skim padi di bawah pemantauan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.
"Peluasan kawasan sawah diberi perhatian utama dengan memanfaatkan tanah terbiar untuk penanaman padi," katanya dipetik di Dewan Undangan Negeri, Seremban, pada Rabu.
Sementara itu tambahnya, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuanuntuk membangunkan kawasan baharu serta menaik taraf infrastruktur sawah dan sistem perparitan melalui Program Pelestarian Sawah Negeri bernilai RM2 juta.
Selain itu, pihaknya turut membantu pesawah menerusi pelbagai bantuan seperti input pertanian, subsidi baja dan benih sah, serta sokongan teknikal, selain galakan penggunaan teknologi moden termasuk dron, jentuai dan transplanter untuk meningkatkan kecekapan kerja dan hasil.
"Kerajaan negeri komited menambah kawasan padi dan memastikan semua tanah sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya demi keperluan rakyat," tambahnya.
Pada sesi tersebut, Jalaluddin turut memaklumkan Dewan bahawa seluas 61 hektar sawah di Skim Terachi Batu 14, Kuala Pilah telah dipulihkan tahun lalu, manakala 40 hektar tanah terbiar di Skim Londah, Tampin sedang dibangunkan semula bermula tahun ini.









Comments