Mungkin Pas, Umno bertanding 3 penjuru di Terengganu - Azan



Kemelut politik yang berlaku di Terengganu antara Pas dan Umno tidak mungkin boleh diselesaikan dengan mudah.


Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, persaingan politik dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri itu tidak sama dengan negeri-negeri di Pantai Barat.


Katanya, ahli bawahan Pas misalnya mempunyai pendapat tersendiri mengenai Umno sejak sekian lama. Begitu juga ahli Umno yang mencurigai ahli Pas.


Jika di negeri lain, kata Azan, pimpinan atasan parti boleh memaksakan kehendak mereka dan ahli bawahan patuh. Di Terengganu keadaan agak berlainan. Gelombang perubahan akar umbi misalnya pernah mengkhianati Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 dan 2018.


Terengganu mempunyai ahli Umno yang banyak namun negeri itu tumbang ke tangan Pas kerana pemikiran ahli dan penyokong yang beralih arah.


Satu lagi faktor, menurut Azan, sekiranya pembahagian kerusi tidak selesai dan Pas berkeras mahu mempertahankan 6 kerusi Parlimen dimenangi sekarang, Umno juga pasti berkeras menuntut dibahagikan 8 kerusi Parlimen Terengganu secara sama rata.


Mungkin persetujuan dicapai sebelum tarikh penamaan calon tetapi jangan dilupa Pas pernah tidak menepati janji. Misalnya dalam PRU 13 parti itu memperuntukan kerusi untuk KEADILAN di Pantai Timur tetapi mereka meletakkan calon dan berlaku pertandingan 3 penjuru.


Malah di negeri yang Pas tiada pengaruh kuat seperti di DUN Kota Damansara, Selangor pun berlaku pertandingan 3 penjuru di dalam Pakatan Rakyat.


"Saya yakin (dalam keadaan terburuk) Pas akan mengulangi cara lama dalam pilihan raya. Pas parti politik bukannya parti agama. Kalau berpegang teguh pada agama memang perjanjian itu mustahak dan perlu ditunaikan. Kalau berpaksi pada Allah dia kena tunai tetapi dalam politik (sebelum ini) dia kata lain.


"Saya tak terkejut Pas akan meneruskan agenda ketetapan sebagaiaman dia umumkan (bertanding 6 kerusi Parlimen). Semasa Pas dalam Pakatan Rakyat dulu kita buat perjanjian dengan kukuh pun mereka cari jalan tindih kerusi kita. Jadikan pertandingan tiga penjuru sehingga kedua-duanya kalah dan mereka tidak rasa bersalah.


"Apatah lagi dengan Umno yang selama ini dia kata undi Umno itu haram, tidak boleh didekati dan musuh, serta ia sama sekali ditegah (berurusan) dalam agama," kata Azan kepada Suara Keadilan.


Keadaan akan menjadi lebih buruk, katanya, jika isu Terengganu tidak dibawa berbincang secara serius oleh MN peringkat pusat dan kedua-duanya bertanding tidak menggunakan logo yang sama.


Pemimpin peringkat negeri mungkin akan mendesak presiden Pas mengeluarkan watikah bertanding untuk calon Pas secara senyap-senyap dan hanya akan diketahui bertindih kerusi pada hari penamaan calon.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio