Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota kabinetnya wajar meletak jawatan setelah gagal melaksanakan fungsi kerajaan dengan mencadangkan darurat.
Menurut Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman, perletakkan jawatan perlu dilakukan setelah Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat PM.
"Muhyiddin dan barisan kabinetnya telah gagal berfungsi sebagai sebuah kerajaan apabila mereka mencadangkan darurat dikuatkuasakan.
"Cadangan tersebut ternyata dangkal demi menyekat pembentangan Belanjawan 2021 dan seterusnya menyebabkan ketidakstabilan pemerintahan.
"Selaras dengan peringatan Baginda supaya ahli politik tidak mengganggu gugat kestabilan pemerintahan, maka wajarlah Muhyiddin dan barisan kabinetnya berundur," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Badli lagi, Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Di bawah pentadbiran Muhyiddin ekonomi telah menguncup -17% pada suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar, terburuk di Asia sepanjang pandemik Covid 19.
"Malaysia memerlukan sosok perdana menteri baru yang disokong oleh majoriti Ahli Parlimen serta barisan kabinet yang lebih kompeten.
"Kestabilan pemerintahan perlu segera dikembalikan dan tumpuan kepada pembentangan belanjawan dan agenda melawan Covid perlu diutamakan," katanya lagi.
Comentarios