Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap gagal mentadbir negara apabila gagal menangani pelbagai isu yang membelenggu rakyat ketika ini.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata perkara ini boleh dilihat berdasarkan gejala rasuah yang dilaporkan di media sejak kebelakangan ini.
"Membaca laporan akhbar berkenaan pendedahan salah laku rasuah di sektor awam yang melibatkan pihak pimpinan tertinggi agensi kerajaan memberikan gambaran seolah-olah kerajaan hari ini mula membusuk dari dalam.
"Pendedahan ini secara tidak langsung telah membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional dibawah pimpinan Muhyiddin Yassin gagal dalam menangani isu rasuah," katanya.
Malah, Khairool berpandangan bahawa peningkatan kes wabak COVID-19 baru-baru ini melenyapkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Lebih kejam dan zalim ketika penularan wabak Covid-19 ini rakyat sedang bergelut dengan kesenjangan ekonomi dan kemerosotan pendapatan malah moratorium juga sudah tamat pada 30 September lalu, tetapi golongan atasan dengan rakus mengaut laba keuntungan secara tamak dan haloba," katanya.
Justeru, Khairool menggesa supaya kepimpinan baharu diberi peluang untuk mentadbir negara bagi mengubah nasib generasi akan datang.
"Malaysia perlukan perubahan segera yang menyeluruh untuk memastikan tadbir urus dan tatakelola yang mampan dan tuntas. Untuk itu agenda reformasi perlu segera diterjemahkan dalam memacu negara yang berdaulat ini.
"Dalam erti kata lain Anwar Ibrahim perlu segera diberi peluang dan ruang dalam memimpin Kerajaan Malaysia dalam menghapuskan gejala rasuah serta memacu ekonomi dan menjana pendapatan yang baik untuk rakyat.
"Negara ini perlu segera diperbaiki segera untuk masa hadapan pewaris kita," katanya.
Comments