MPP gantung jawatan Fahmi Zainol, Rafizi kekal anggota KEADILAN
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini memutuskan untuk menggantung segala jawatan parti yang disandang oleh pemimpin KEADILAN Pulau Pinang, Fahmi Zainol sehingga kes mahkamah beliau diputuskan.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP membincangkan isu pendakwaan terhadap Fahmi yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"MPP telah memutuskan bahawa sdr Fahmi Zainol digantung segala jawatan parti sehingga kes mahkamah beliau diputuskan, berkuat kuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Berhubung jawatan Fahmi Zainol dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Fuziah berkata pihaknya akan mengutuskan surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dalam masa terdekat bagi memaklumkan keputusan parti.
Dalam mesyuarat sama, MPP turut membincangkan isu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Datuk Seri Rafizi Ramli serta jawapan yang telah diberikan beliau.
"Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dan mengingatkan agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti," jelasnya.
MPP turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat pada Isnin bagi mengecam serangan Israel dan sekutunya ke atas Iran.
Dari segi keanggotaan pula, MPP dimaklumkan bahawa KEADILAN menerima 14,225 anggota baharu bagi tempoh Oktober 2025 hingga Januari 2026. Antara yang menyertai parti termasuk Dr Sani Araby Salim Araby, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), serta Hidayat Abdullah, Pengurus Strategik MAPIM.
Selain itu, MPP turut memutuskan pelantikan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai ahli ex officio MPP, serta Muhd Haris Mohd Ismail atau PU Haris sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama.




Comments