
Pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin pada 9 April lalu bahawa Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti serta persatuan pajak gadai akan memberi moratorium selama tiga bulan kepada peminjam melegakan rakyat yang terdesak dari segi kewangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Zuraida dalam laporan dipetik Bernama berkata, perkara itu dipersetujui selepas perbincangan diadakan dengan ketiga-tiga persatuan susulan pengumuman langkah tambahan bagi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat oleh perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 6 April. Namun menurut Setiausaha Politik Presiden KEADILAN, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pengumuman itu bersifat 'indah khabar dari rupa' apabila realitinya peminjam tetap dikenakan kadar faedah manakala menteri pula tidak mengeluarkan kenyataan menjelaskan keadaan. "Pihak berkuasa harus mengambil serius terhadap laporan polis ke atas Zuraida baru-baru ini kerana membuat kenyataan yang mengelirukan dan telah mengakibatkan kesulitan kepada peminjam pajak gadai. "Pada 9 April lalu, Zuraida dilaporkan berkata Kredit Komuniti serta persatuan pajak gadai akan memberi moratorium selama tiga bulan bagi meringankan bebanan peminjam dalam tempoh PKP. "Namun, di dalam laporan polis yang dibuat oleh setiausaha Pertubuhan Peneraju Insan, Indrani Selvakumar, Persatuan Pajak Gadai Malaysia (MPA) pada 14 Mei lalu memaklumkan bahawa pemberi pinjaman tetap akan mengenakan faedah ke atas pinjaman. "Isu ini harus diberi perhatian kerana seorang menteri harus lebih peka dan bukannya melengah-lengahkan waktu dalam memberi penjelasan serta langkah penyelesaian," katanya di akaun Fecebook beliau. Bagi Farhash, kekeliruan seperti itu adalah salah satu sebab mengapa pakej ransangan ekonomi harus dibahaskan di Parlimen bagi mengelak ketidakadilan ke atas rakyat. Katanya, Zuraida harus sedar tugas seorang menteri bukanlah sekadar mengumpul bantuan dana bagi NGO naungan sendiri tetapi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia.
Komentar