top of page

MOF teliti mekanisme guna MyKasih, MyKad salur subsidi diesel

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti mekanisme penggunaan sistem MyKasih dan MyKad bagi menyalurkan pemberian subsidi diesel untuk rakyat Malaysia yang layak.


Jurucakap kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut dibincangkan Kabinet hari ini susulan cadangan dikemukakan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan pengumuman Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini.


Pada masa ini, sistem MyKasih dan MyKad digunakan sebagai mekanisme penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi petrol Budi95 manakala subsidi diesel kenderaan peribadi diberikan melalui bantuan tunai RM300 sebulan di bawah skim Budi Madani Diesel.


"Mekanisme ini akan diteliti oleh Kementerian Kewangan dan diputuskan di Jemaah Menteri sebelum diumumkan secara muktamad kelak," katanya dalam taklimat krisis tenaga global di Putrajaya hari ini.


Menteri Komunikasi itu berkata Jemaah Menteri juga telah memutuskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara dengan semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Sarawak menjadi ahli tetap.


Katanya mesyuarat majlis itu diadakan sejurus selepas mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang diadakan secara berkala dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertindak sebagai sekretariat.


Selain itu katanya, Jemaah Menteri juga dimaklumkan mengenai pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai pelanjutan Tahun Melawat Malaysia 2026 sehingga penghujung tahun 2027.


"Menteri Pelancongan memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa terdapat keperluan untuk meneliti sektor sama ada penerbangan mahupun hospitaliti untuk memastikan mereka tidak terkesan terlalu berat akibat krisis tenaga global dan konflik Asia Barat," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page