top of page

Minyak stok lama patut murah: Harga minyak ditentukan pasaran global

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pempengaruh dan penyokong pembangkang yang mempertikaikan harga petrol/diesel tidak bersubsidi di Malaysia tidak wajar dinaikkan kerana dibeli beberapa bulan lalu sebelum konflik Asia Barat bermula, seharusnya berhenti memperbodoh rakyat.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar), isu harga minyak tidak terikat dengan stok lama atau baharu kerana ditetapkan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), dan hal itu tidak perlu dijadikan isu politik kerana formula berkenaan digunakan oleh mana mana kerajaan yang memerintah.


Katanya, di negara maju harga jualan minyak di stesen ditentukan secara harian berdasarkan harga minyak Brent crude dan West Texas Intermediate (WTI) pada indeks pasaran antarabangsa.


"Isu seperti ini tidak patut dipolitikkan kerana ia melibatkan perkara global yang sensitif. Kalau nak bermain politik itu (biarlah) kena pada tempatnya, jangan semua tempat (isu) kita nak main politik.


"Kita tengok negara-negara lain ada yang stesen minyak pun ada yang dah tutup. Ada juga yang dah tak pakai kenderaan (sebab isu minyak global).


"Tapi (kita di Malaysia) masih mampu lagi bagi subsidi petrol dan masih lagi antara yang terbaik menguruskan masalah bahan api ini," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Mengulas lanjut, Iman berkata, isu kapal Malaysia berjaya melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan bayaran untuk mendapatkan bekalan minyak juga bukanlah perkara utama dalam menentukan harga petrol sebagaimana dimainkan oleh pemimpin pembangkang sejak beberapa hari lalu.


Beliau menegaskan, isu sebenar terletak pada harga minyak dunia, selain hakikat bahawa minyak yang dihasilkan di bumi Malaysia tidak digunakan secara langsung untuk kegunaan harian domestik.


"Minyak yang dihasilkan di negara ini digunakan untuk tujuan lain kerana kualitinya yang tinggi dan sesuai untuk kegunaan khusus seperti bahan api beroktana tinggi melebihi RON 110, macam kapal terbang, Formula Satu (F1) dan sebagainya.


"Untuk petrol RON95 (yang digunakan kebanyakan rakyat) kita ambil (import) dari negara luar," katanya lagi.


Untuk rekod, harga minyak tidak bersubsidi di stesen minyak negara ini dikira seminggu sekali.


Penetapan harga itu tidak mengambil kira stok lama atau baharu. Begitu juga, sekiranya harga minyak global turun maka harga di stesen akan turun tidak mengira sama ada stok di stesen minyak telah dibeli pada waktu petroleum melambung tinggi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page