Minum arak di pantai PD: Pas, sekutu BN dicabar nyata pendirian
- Akmal Manaf

- 6 hours ago
- 2 min read

Pas yang ingin bersekutu dengan BN dalam pilihanraya di Negeri Sembilan dicabar menyatakan pendirian sama ada akan terus mempertahankan larangan pengambilan minuman keras di kawasan awam terutama di pantai Port Dickson atau berkompromi dengan pandangan yang dibangkitkan oleh pemimpin muda MCA berhubung isu tersebut.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Raihan Md Idris menegaskan, dalam kerjasama bersama komponen BN pastinya Pas terpaksa berlembut dengan tuntutan rakan sekutu yang sekular meskipun mereka memperjuangkan agama.
"Pas perlu menjelaskan sama ada mereka mempertahankan larangan minum arak secara terbuka (sebagaimana dilakukan Pakatan Harapan) di pantai dan taman rekreasi, atau sanggup berkompromi semata-mata untuk membentuk kerjasama politik.
"Jangan ketika bersama satu gabungan, isu arak dijadikan modal politik, tetapi apabila mahu bersama Barisan Nasional (BN), pendirian itu berubah.
"Rakyat mahu pendirian yang konsisten, bukan prinsip yang berubah mengikut musim pilihanraya," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan mengulas isu berkenaan.
Malam tadi, Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Pas mengumumkan senarai 11 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus mengesahkan kerjasama gabungan itu bersama BN untuk menghadapi PH di negeri berkenaan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan calon-calon daripada Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP di Kompleks Pas, Ampangan, Seremban.
Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas BN menamakan calon bagi 25 kerusi, dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan baki 11 kerusi akan diumumkan oleh ‘rakan yang boleh dipercayai’.
Terdahulu, tular rakaman siaran langsung memaparkan Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA Pusat, Ivone Low yang juga Ketua Beliawanis MCA bersama beberapa rakan parti membangkitkan persoalan mengenai larangan pengambilan minuman keras di pantai awam seperti di Port Dickson, termasuk sama ada langkah tersebut akan memberi kesan kepada kehadiran pelancong asing.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri sebelum ini berkata, larangan itu bertujuan menghormati sensitiviti masyarakat dan mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut, berdepan kompaun serta-merta dengan denda hingga RM2,000.




Comments