Minum alkohol di pantai PD: Pas perlu jawab tuntuan ahli MCA - Zawawi
- Akmal Manaf
- 2 minutes ago
- 2 min read

Ketetapan Pas bersama Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya Negeri Sembilan menimbulkan tanda tanya sama ada parti itu bersedia melayan 'tuntutan' berkaitan aktiviti minum minuman keras antaranya di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan terutama apabila melibatkan rakan kerjasama politik parti itu yang beraliran sekular.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, jika Pas benar-benar mahu bekerjasama dengan BN atas prinsip Melayu-Islam, parti itu perlu menjelaskan pendirian apabila berdepan dengan pihak sekular dalam BN yang menyokong isu berkaitan minuman keras di tempat awam.
"Pendekatan politik Pas dilihat seperti berubah-ubah mengikut keadaan apabila sesuatu pendirian boleh disesuaikan berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa (mereka).
"Politik Machiavelli ini mana yang menguntungkan dia (akan) ambil, jadi pendekatannya sentiasa berubah-ubah.
"Prinsipnya (juga) sentiasa boleh berubah bergantung kepada keperluan dan kepentingan semasa," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas kerjasama Perikatan Nasional (PN) - BN dalam pilihanraya Negeri Sembilan, adakah Pas mengambil kira tuntutan berkaitan aktiviti minum minuman keras di pantai susulan pendirian beberapa anggota muda MCA dalam isu berkenaan sebelum ini.
Terdahulu, tular rakaman perbincangan secara langsung melibatkan Timbalan Setiausaha MCA Pusat, Ivone Low yang juga Ketua Beliawanis MCA bersama rakan-rakan partinya yang mempertikaikan larangan minum minuman keras yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam pada itu, Ustaz Mohd Zawawi turut mempersoalkan usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang menurutnya hanya dilihat berlaku di kawasan tertentu seperti Pantai Barat dan Selatan.
Sedangkan katanya, kerjasama yang sama tidak berlaku di negeri-negeri yang ditadbir Pas seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Kalau betul-betul Muafakat Nasional, mereka bahagikan kerusi Umno di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Tak perlu berlawan sampai 'kafir mengkafir'.
"Kalau betul nak bawa Muafakat Nasional, tunjukkan di Pantai Timur (Terengganu, Kelantan) dan Kedah. Barulah masyarakat percaya yang muafakat ini benar-benar tulen dan bukannya muafakat palsu atau olok-olok," ujarnya lagi.
