Merdeka 2026: Merdekakan Minda, Tolak Politik Toksik
- Suara Keadilan

- 19 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini membawa erti yang amat besar di bawah panji tema "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati".
Kuala Lumpur sebagai pintu gerbang utama negara berdiri megah menyaksikan bagaimana Malaysia kini berada di landasan ekonomi yang kukuh, kestabilan mata wang, serta rakyat yang mempunyai peluang pekerjaan yang terjamin—faktor-faktor yang seharusnya menterjemahkan kejayaan sebenar negara di mata antarabangsa.
Prinsip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan jemaah kabinetnya jelas menunjukkan iltizam tinggi untuk membawa Malaysia ke arah lonjakan yang lebih gemilang di persada dunia.
Budaya politik toksik
Namun, momentum hebat ini sering dicabar oleh budaya politik toksik. Segala polemik picisan dan anasir perkauman ini sebenarnya menjauhkan kita daripada terus bersaing di persada global. Usaha murni membersihkan ketirisan negara—seperti tindakan tegas merungkai salah laku di syarikat berkaitan kerajaan (GLC)—kerap diputar belitkan sebagai dendam politik.

Malah, polemik kecil membabitkan kepelbagaian budaya, seperti isu kecaman terhadap penggunaan tulisan Cina baru-baru ini di sambutan perayaan Hantu Lapar, membuktikan segelintir pihak masih terperangkap dalam mentaliti sempit yang merugikan.
Sebagai individu yang sebati dengan arena pembangunan masyarakat, saya berpegang pada prinsip bahawa perpaduan adalah nadi kekuatan kita. Kita tidak boleh membiarkan masa depan tanah air diheret ke belakang. Agenda reformasi menuntut kita berani merangkul kepelbagaian majmuk Malaysia dengan penuh rasa hormat, kematangan, dan jiwa yang terbuka.
Denyut nadi perpaduan
Sempena merayakan kemerdekaan ke-69 ini, saya telah menghasilkan sebuah naskhah video khas. Karya ini merakamkan semangat kebersamaan dan denyut nadi perpaduan bersama warga komuniti—mereka yang selama ini konsisten berdiri teguh serta percaya kepada perjuangan membina sebuah Malaysia yang lebih baik untuk semua.
Rakaman penuh tersebut boleh ditonton di pautan https://www.youtube.com/watch?v=HMdGj7YwDYQ
Ayuh, kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga. Bendera ini sebenarnya adalah simbol perpaduan kita semua yang melangkaui sebarang sempadan perbezaan. Merdeka pada hari ini menuntut sebuah hijrah minda yang tuntas. Mari kita sokong momentum Malaysia MADANI, campakkan jauh politik sempit yang memecah-belahkan, dan melangkah sehati sejiwa dengan jiwa merdeka yang sejati demi kedaulatan negara tercinta.




Comments