top of page

Menteri langgar SOP: PM perlu bertindak tegas, jangan pilih kasih



Pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali perlu diambil tindakan tegas dan tanpa pilih kasih.


Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan ke atas menteri berkenaan akan memberi teladan buruk dan mewujudkan dwistandard hukuman di Malaysia.


Katanya, sehingga 21 Ogos, Khairuddin masih belum menafikan dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkenaan lawatannya ke negara Turki yang sedang serius dilanda wabak Covid 19 serta keengganannya melakukan kuarantin di rumah selama 14 hari serta hadir di Parlimen pada 13 Julai lalu sebelum tempoh dua minggu berakhir, amat memalukan kabinet Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin.


"Jika seorang perempuan yang dikenali dengan gelang palstik warna pink atau merah jambu melanggar perintah kuarantin dan didakwa serta dihukum di mahkamah; begitu juga seorang pemilik kedai yang pulang dari luar negara dari kluster Sivagangga didapati melanggar SOP kerana melanggar perintah kuarantin, kedua-dua mereka didakwa dan dihukum di mahkamah dengan denda dan penjara, maka demi keadilan yang sama di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, saya menuntut menteri berkenaan melalui proses undang-undang yang sama.


"Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dikurniakan pingat kerana perkhidmatan KKM yang cemerlang baru-baru ini akan menjadi pudar sekiranya KKM tidak bertindak menangani kes berkenaan.


"Begitu juga Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri akan dilihat berat sebelah antara kesalahan dilakukan rakyat biasa dan VIP bertaraf menteri jika beliau berdiam diri


"Polis Diraja Malaysia PDRM juga perlu membuka kertas siasatan sekiranya telah ada aduan dibuat. Menteri tersebut perlu dipanggil, disiasat dan tindakan selanjutnya perlulah dikemukakan kepada Pendakwa Raya untuk pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Hassan lagi, PM Muhyiddin yang dimalukan oleh menteri dari parti Islam itu wajar mengambil tindakan keras, termasuk memecat Khairuddin sebagai pengajaran kepada menteri-menteri kabinet yang lain.


"PM Tan Sri Muhyiddin dalam hal ini tidak boleh alpa. Menteri berkenaan pulang dari Turki pada 7 Julai dan datang ke Parlimen pada 13 Julai meletakkan risiko ke atas seluruh jemaah menteri kerajaan persekutuan, para backbencher, ahli-ahli parlimen pembangkang dan para pegawai parlimen, menjurus kepada risiko wujudnya satu kluster baru iaitu kluster Parlimen.


"Tidakkah ini satu risiko yang amat besar dan parah. Sebuah kerajaan akan runtuh bukan kerana hilang undi kepercayaan tetapi kerana seluruh anggota kerajaannya dijangkiti dengan Covid-19.


"PM wajar membuat keputusan memecat menteri berkenaan atas kesalahaan tidak menghormati prinsip kebertanggunjawaban bersama para menteri (collective responsibility).


"Menteri tersebut melanggar SOP yang telah diputuskan. Sedangkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semuanya akur dengan SOP dan kesemuanya pernah menjalani Perintah Kuarantin di Istana Negara dan di kediaman masing-masing, mengapakah menteri berkenaan tidak mengikuti contoh yang sama sebagai pemimpin?" soalnya.


Bagi Hassan, sekiranya Khairuddin seorang yang berintegriti maka amat wajar beliau meletakkan jawatan sebagai menteri sebagaimana diamalkan di negara-negara maju apabila anggota kabinet melanggar SOP berhubung Covid 19.


"Tetapi adalah lebih baik dan mulia sekiranya menteri tersebut memikul tanggungjawabnya. Beliau patut berdiri sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang menteri mengaku salah, meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta meletakkan jawatannya secara terhormat," kata Hassan lagi.


Untuk rekod, beberapa orang menteri di negara Barat telah meletak jawatan sebaik sahaja tular berita mereka melakukan pelanggaran larangan perjalanan atau kuarantin berhubung Covid 19.


Antara yang telah meletak jawatan adalah seorang menteri dari Scotland, Douglas Ross, menteri New Zealand David Clark dua menteri Ireland dan seorang menteri dari Ghana.






0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page