top of page

Mengapa pesawat, kapal kargo Israel dibenar memasuki wilayah Malaysia?


Insiden pesawat pengintip jenis 4X-AOO milik Israel yang dibenar terbang melewati ruang udara Malaysia baru-baru ini menimbulkan tanda tanya mengenai keseriusan negara ini menentang rejim Zionis.


Menurut Pengerusi Malaysia-Palestine Parliamentary Friendship Group, Syed Ibrahim Syed Noh, pengesahan Kementerian Pengangkutan semalam mengenai insiden tersebut menimbulkan lebih banyak pertanyaan mengenai polisi Malaysia yang dikatakan meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara, dan tidak dibenarkan mendarat.


"Alasan ini amat mencurigakan kerana dua sebab. Pertama, mengapakah setelah lebih seminggu baharu kenyataan ini keluar? Kedua, bukankah menjadi hak negara untuk memberi kebenaran atau menolak permintaan mana-mana pesawat untuk memasuki ruang udara kita, apatah lagi pesawat tersebut ialah pesawat pengintip rejim Israel?


"Keselamatan dan kedaulatan negara boleh terancam dengan kehadiran pesawat berkenaan. Harus diingat negara Indonesia pernah mengharamkan pesawat Perdana Menteri rejim Israel daripada melalui ruang udaranya untuk ke Sydney, Australia dari Singapura," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Syed Ibrahim yang juga Ahli Lembaga, Liga Ahli-ahli Parlimen untuk Al-Quds, ICAO bukanlah pertubuhan pengawal selia penerbangan antarabangsa dan tidak boleh mengarahkan sekatan, penutupan atau pembukaan ruang udara mana-mana negara.


Selain itu, beliau turut menimbulkan persoalan mengenai kebenaran berlabuh yang diberikan kepada kapal-kapal kargo milik Israel yang menimbulkan keraguan mengenai kesungguhan Malaysia ingin memencilkan Israel di peringkat antarabangsa dan serantau.


"Maklumat yang diperolehi daripada laman web Syarikat ZIM iaitu sebuah syarikat perkapalan kargo antarabangsa terbesar Israel yang berpangkalan di Haifa, Israel menunjukkan kapal-kapal yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan telah kerap berlabuh di 10 pelabuhan di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak selewat bulan Mei tahun ini.


"Kapal-kapal syarikat perkapalan rejim Israel wajar dicegah daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia dan dengan itu menghentikan sebarang perdagangan dengan rejim zionis Israel.


"Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan rejim. Malaysia juga tidak wajar ada hubungan perdagangan dengan Israel. Malaysia mengutuk dan mengecam tindakan kejam lagi ganas rejim Israel ke atas Palestin.


"Justeru, Kerajaan Malaysia wajib memberi penjelasan segera kepada kedua-dua insiden ini kerana ia jelas bercanggah dengan dasar luar Malaysia terhadap rejim," katanya.


Bagi Ahli Parlimen Ledang itu, tiada gunanya Malaysia membenarkan insiden-insiden sedemikian berlaku ketika pada sisi lain lantang mengecam kekejaman Israel kepada Palestin.


Katanya, dalam pada Israel melabel Malaysia sebagai negara paling tegar menyokong Palestin dalam krisis baru-baru ini, mengapa pula seolah-olah negara ini tidak berhati-hati dan waspada terhadap unsur-unsur zionis?


Malaysia, kata Syed Ibrahim, wajib menunjukkan keseriusannya melakukan semua usaha yang termampu dan dalam kawalannya untuk menamatkan penindasan ke atas rakyat dan Palestin oleh pihak zionis yang telah berlaku sejak puluhan tahun.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page