top of page

Mengapa perlu PKP menyeluruh? - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan berhasrat mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh pada 4 Februari ini.


Presiden KEADILAN itu berkata cadangan yang muncul dalam perbincangan antara Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menunjukkan kerajaan tidak benar-benar memahami kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara.


"Sebelum ini, dikenal pasti sektor utama menyebabkan penularan Covid-19 adalah sektor pembuatan. Kalau ini (PKP) jadi pertimbangan kerajaan, mengapa harus tetapkan PKP menyeluruh di kawasan yang tidak terlibat?


"Kalau ini berlaku kenapa kluster ini tidak diberi tumpuan untuk tindakan tegas untuk beberapa ketika, kerana menutup ekonomi akan menyebabkan pengangguran, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan produktiviti turut terkesan dan perkara ini perlu diserahkan kepada kepakaran untuk tentukan langkah berkesan yang dapat dilaksanakan," katanya.


Pada masa sama, Anwar berpendapat PKP menyeluruh menunjukkan kerajaan terlalu angkuh dan enggan mendengar nasihat daripada pakar-pakar.


"Kerajaan memantau dan menguatkuasa SOP pun tidak konsisten, kadang-kadang keras kadang-kadang lembut, meletakkan keputusan yang tidak konsisten.


"Sepatutnya PKP menyeluruh dilaksanakan beberapa bulan lalu, tetapi kerana keangkuhan kuasa, cadangan kepakaran KKM yang dibuat setahun lalu, tidak dipedulikan, kerana mereka rasa cukup wibawa.


"Pemusatan kawasan kluster juga dicadangkan tapi diketepikan, ia hanya mengesahkan apa yang dilakukan, tak dinafikan tindakan positif kerana penambahan peruntukan, staf termasuk PKP dan langkah keselamatan lain tetapi kerana tidak ada kenyataan jelas dan tegas menyebabkan orang resah," katanya.


Anwar yang merupakan bekas Menteri Kewangan turut meluahkan rasa hairan terhadap kenyataan Kementerian Kewangan yang seolah-olah mahu mengelirukan rakyat dan cuba memperbodohkan rakyat.


"Ekonomi menjadi tarikan jumlah pelaburan asing di Asean dikatakan bertambah, tetapi di negara kita cuma 5 peratus, Menteri Kewangan pula tetap merasakan Malaysia menjadi destinasi terbaik untuk pelaburan asing.


"Saya tidak tahu dia rujuk kitab mana, tapi tentunya mengelirukan dan tidak berlandas kepada fakta," katanya.


Anwar juga mengakui Pilihan Raya Sabah merupakan penyebab kepada kenaikan kes Covid-19 di negara ini.


"Saya tak mahu menyalahkan sesiapa, tapi antara puncanya merebak Covid-19 adalah keputusan menyegerakan PRN, tapi mereka dalam kenyataan penafian.


"Pengangguran mencecah hampir 1 juta, pekerja upah ada yang setengah gaji, ada yang diberi cuti, golongan B40 miskin dan ada masalah gerai. Perancangan kerajaan nyata tidak teliti, tak ambil kira pandangan dan keresahan rakyat," katanya.


Anwar juga mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam membantu rakyat ketika Covid-19.


"Katanya darurat kerana Covid-19. Belanjawan 2021 pun tidak ke arah Covid-19, sebab itu kita bantah keras peruntukan staf politik tambahan Jasa, KPKT, sekarang dewan di Pagoh.


"Kalau benar nak selesaikan, bantu rakyat susah, jangan harap semata-mata NGO, parti politik, itu tanggungjawab kita mesti teruskan tapi kenapa ratusan juta boleh bocor dan boleh dialihkan dalam keadaan rakyat susah," katanya.


Anwar selaku Ketua Pembangkang turut memaklumkan beliau memfailkan afidavit di mahkamah bagi membolehkan sidang Parlimen diadakan ketika darurat.


"Majoriti ahli Parlimen dari kedua-dua pihak telah bertulis memutuskan warkah pertimbangan Agong.


"Kerajaan belum jawab tetap mereka seperti beri suatu jawapan seperti kita mempertikai keputusan, itu pun satu helah, mereka tidak jawab soalan tapi cuba berselindung di balik Istana Negara.


"Kita pohon ihsan dan kebijaksanaan, jadi hari ini saya bercadang failkan afidavit mahkamah untuk membantah keputusan menggantung Parlimen kerana ada hujah perlembagaan membolehkan Parlimen bersidang sementara darurat dijalankan.


"Kita tak sentuh soal darurat, kita failkan hanya untuk sidang Parlimen. Saya tidak akan beri ruang orang cuba cari helah dan alih pandangan supaya kononnya kita bertelagah dan bercanggah dengan keputusan Agong.


"Saya percaya pihak istana dapat meneliti dan tak mudah dipermainkan dalam simpang siur dan sepak terajang politik serta jangan dicampur kebijaksanaan istana," katanya.

0 comments

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page